PARIS – Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez terus menguasai saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila melakar kemenangan ketiga berturut-turut selepas muncul juara pada Grand Prix (GP) Perancis di Litar Bugatti, Le Mans malam tadi.
Pada saingan tersebut, pelumba Ducati, Jorge Lorenzo yang menguasai kedudukan pertama disaingi hebat oleh pelumba Monster Yamaha Tech3, Johann Zarco serta seorang lagi pelumba Ducati, Andrea Dovizioso.
Bagaimanapun, kedudukan tersebut tidak bertahan lama apabila Dovizioso yang berjaya memintas kedudukan pertama telah terjatuh ketika saingan memasuki pusingan keenam.
Nasib malang turut menimpa pelumba tuan rumah, Zarco apabila terjatuh pada dua pusingan selepas itu, sekali gus gagal mengulangi pencapaian terbaiknya meraih podium pada GP Perancis musim lalu.
Dua insiden terbabit memberi peluang kepada Marquez untuk memecut laju memintas Lorenzo di depan dan terus menguasai perlumbaan hingga menamatkan saingan dengan catatan 41 minit 49.773 saat.
“Sudah pasti perlumbaan hari ini (semalam) bukan mudah kerana semua pelumba sangat rapat dan sangat laju. Ketika saingan berlangsung, saya lihat keadaan litar dan ia tidak membuatkan tayar mencengkam berbanding semalam (kelmarin) dan saya sedikit bekerja keras dengan tayar depan.
“Secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan kejayaan hari ini dan saya akui kami tidak berlumba dengan mudah di litar ini. Terima kasih kepada pasukan dan peminat khususnya,” katanya sejurus tamat perlumbaan.
Tempat kedua menjadi milik pelumba Alma Pramac Racing, Danilo Petrucci dan pelumba Movistar Yamaha, Valentino Rossi di kedudukan ketiga.
Hasil kemenangan tersebut, Marquez terus unggul pada carta kedudukan pelumba dengan 95 mata, sekali gus meninggalkan Maverick Vinales di tempat kedua dengan perbezaan 36 mata diikuti Zarco (58 mata). – Agensi











