Jadikan Piala Thomas istimewa - Utusan Malaysia

Jadikan Piala Thomas istimewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK 20 Mei – Jaguh No. 1 negara, Datuk Lee Chong Wei berharap Piala Thomas kali ini akan menca­tat sejarah istimewa buat Malaysia kerana pertama, pasukan negara tidak pernah muncul juara selepas 26 tahun dan kedua, lima anggota skuad menyambut ulang tahun kelahiran mereka ketika kejohanan berlangsung.

Jaguh beregu negara, Goh V Shem meraikan ulang tahun ke-29 hari ini bersama pengurus pasu­kan yang juga Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai.

Pasangan V Shem, Tan Wee Kiong pula genap 29 tahun esok, manakala Iskandar Zulkarnain Zainuddin menyambut ulang tahun ke-27 pada 24 Mei, diikuti jurulatih beregu, Paulus Firman pada 25 Mei. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malam ini pasukan akan keluar makan untuk meraikan mereka yang menyambut ulang tahun di sini.

“Saya doakan semoga ia menjadi sambutan ulang tahun terbaik buat mereka dan kami semua akan mengharungi kejohanan yang baik,” kata Chong Wei ketika ditemui pada sesi latihan di Gelanggang Badminton Hippocampus di sini, hari ini.

Mengenai perlawanan pertama menentang Rusia esok, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu berkata, pemain Malaysia sudah dipersiapkan secara mental dan fizikal untuk berdepan sesiapa sahaja.

“Ya, sesi latihan sudah berjalan sejak di Kuala Lumpur, setiap hari, namun untuk kejohanan seperti Piala Thomas, kami juga memperbanyakan aktiviti berpasukan bagi memupuk semangat sebagai satu pasukan.

“Saya sendiri beberapa kali bercakap kepada pemain muda, kalau mereka ada masalah yang boleh kami bantu, kalau mereka takut atau tertekan.Saya sebagai kapten dan Wee Kiong penolong ketua pasukan, banyak memberi nasihat kepada pemain-pemain  ini untuk menyiapkan mereka menghadapi satu pertarungan penting.

“Piala Thomas tidak mudah, dan esok kami akan bertemu Rusia  ia satu cabaran hebat, namun saya percaya kami sudah bersiap sedia untuk akhirnya turun bertarung selepas beberapa bulan menyiapkan diri,” katanya lagi.

Chong Wei mengakui, Rusia adalah pasukan yang seimbang, namun di atas kertas Malaysia masih pilihan untuk mencatat kemenangan.

“Saya akan turun menentang Rusia kerana ini perlawanan penting dan hanya dua pasukan dari Kumpulan D akan layak ke suku akhir.

“Mereka seimbang dan kuat, tetapi tidak kisah macam mana pun cabaran yang diberikan pasukan itu kami akan berhabis-habisan untuk mencari kemena­ngan pertama,” katanya lagi. 

Malaysia tidak pernah muncul juara Piala Thomas sejak kali terakhir melakukannya di Kuala Lumpur pada 1992. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini