Pertembungan 
‘hidup mati’ Piala Uber - Utusan Malaysia

Pertembungan 
‘hidup mati’ Piala Uber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK 20 Mei – Pertemuan dengan Indonesia dalam perlawanan pembukaan Piala Uber esok ibarat ‘hidup atau mati’ buat pasukan badminton wanita negara.

Ketua pasukan, Vivian Hoo mengakui, kalah kepada juara tiga kali itu bermakna peluang untuk mencari tiket suku akhir amat tipis kerana Malaysia perlu berdepan China selepas ini.

Hanya dua pasukan terbaik akan ke  suku akhir, dan Malaysia diletakan bersama juara 14 kali, China, Indonesia serta Pe­rancis dalam Kumpulan D.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dari awal saya katakan, ini adalah perlawanan yang pen­ting buat kami dan mampu menentukan sama ada kami boleh ke suku akhir atau tidak.

“Berbanding China, peluang untuk menang ke atas Indonesia lebih baik tetapi saya harap rakan-rakan  tidak memberi tekanan kepada diri sendiri untuk terlalu mencari kemenangan,” kata Vivian ketika ditemui pada sesi latihan di Gelanggang Badminton Hippocampus di sini, hari ini.

Kata Vivian lagi, biarpun jurulatih belum menentukan barisan pemain yang akan diturunkan untuk perlawanan esok, namun dia hampir pasti beraksi sebagai beregu kedua.

Ketiadaan pasangan utama­nya, Woon Khe Wei akibat kecederaan bagaimanapun menye­babkan kedudukan pasangan Vivian menjadi tanda tanya.

“Memang saya akan beraksi cuma tidak tahu siapa pasa­ngan. Kemungkinan besar kami akan menentang Della (Destiara Haris)-Rizki Amelia (Pradipta).

“Ia tidak mudah, tetapi kami  sudah melakukan persiapan terbaik dan bersedia untuk berjuang. Memang Indonesia adalah pilihan utama, namun kebanyakan pemain kami juga ada pengalaman,” kata pemain pa­ling senior dalam skuad wanita negara itu lagi.

Vivian, 28, membentuk gandingan baik bersama Chow Mei Kuan ketika memenangi pingat emas Sukan Komanwel di Gold Coast, April lalu, namun dia juga beraksi baik bersama Tee Jing Yee pada Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Februari lalu.

Pada Terbuka New Zealand baru-baru ini, dia digandingkan dengan Goh Yea Cheng, dan tidak mustahil kombinasi ini menjadi pilihan Malaysia untuk diturun­kan menentang Indonesia.

Malaysia tidak pernah me­langkah ke separuh akhir Piala Uber, pencapaian terbaik mereka adalah layak ke suku akhir pada 2010 sebelum tunduk 0-3 kepada Indonesia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini