FRANZ BECKENBAUER merupakan antara kapten terbaik sepanjang zaman dengan kecemerlangan membaca perlawanan selain hantaran-hantaran tepat semasa permainan.
Der Kaiser memulakan karier sebagai pemain tengah sebelum bertukar posisi ke bahagian pertahanan untuk Jerman Barat yang menjulang tiga kejuaraan Eropah selain Piala Dunia 1974.
Beckenbauer adalah pemimpin terbaik termasuk ketika mengetuai pasukannya dalam aksi separuh akhir Piala Dunia 1970 menentang Itali meskipun mengalami patah bahu.
Kapten Jerman Barat itu merupakan perancang yang sangat elegan sama seperti yang dilihat dalam kalangan pemain bola sepak moden seperti Xavi, Andrea Pirlo dan Sergio Busquets.
Semasa Piala Dunia 1974, Beckenbauer menampilkan kualiti permainan terbaiknya untuk menjulang trofi Piala Dunia selaku kapten di laman sendiri iaitu Munich.
Kemenangan 2-1 ke atas Belanda yang diketuai Johan Cruyff menandakan era kegemilangan bola sepak Jerman.
Menurut rakan sepasukannya, Gunter Netzer, kejayaan sebenar Beckenbauer ialah semasa berada di luar padang ketika mereka tewas 0-1 kepada Jerman Timur dalam perlawanan pertama kumpulan yang menyaksikan moral pemain jatuh merudum.
Beckenbauer memberikan kata-kata semangat kepada pasukan, membentuk semula pasukan bagi meneruskan saingan dengan kerjasama pengurus, Helmut Schon.
Beckenbauer juga tidak takut untuk menghentam Persatuan Bola Sepak Jerman ketika itu selain mendesak mereka menyediakan bonus 70,000 Deutch Mark (RM169,137) dalam satu pertemuan yang berakhir pukul 5 pagi.
Selepas muncul juara di Stadium Olympic, dia mengarahkan pasukannya untuk memboikot jamuan yang diadakan badan induk bola sepak Jerman itu selepas mereka dihalang untuk membawa isteri masing-masing.











