Percanggahan dasar pentadbiran Trump - Utusan Malaysia

Percanggahan dasar pentadbiran Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA Disember tahun lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengumum­kan peng­iktirafan negara itu terhadap pendudukan haram Israel di ibu kota negara Palestin, iaitu Baitulmuqaddis dengan mengiktiraf ia sebagai ibu negara rejim Zionis akhirnya melaksanakan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa secara nyata dengan merestui pemindahan kedutaan negaranya dari bandar Tel Aviv ke bandar suci itu.

Tindakan membuka kedutaan AS di Baitulmuqaddis ini disusuli dengan keputusan beberapa negara lain yang rata-ratanya di­pimpin evangelis Kristian seperti Guatemala, Honduras, Romania dan Republik Czech turut memindahkan atau menimbangkan untuk memindahkan kedutaan negara masing-ma­sing ke Baitulmuqaddis juga.

Pembukaan kedutaan AS di Baitulmuqaddis bukan sahaja dite­ruskan tanpa menghiraukan bantahan masyarakat antarabangsa yang disuarakan melalui kelulusan resolusi tergempar ES‑10/L.22 pada 21 Disember 2017 di Perhimpunan Agung PBB yang menolak keputusan AS tersebut, malah dipercepatkan lagi berikutan keinginan ahli politik dan pelobi Israel di AS untuk me­nyambut ulang tahun ke 70 tahun kewujudan negara haram itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Nyatalah kini Trump ialah Pre­siden AS yang terburuk padahnya terhadap bukan sahaja rakyat Palestin tetapi buat masyarakat antarabangsa.

Dengan pembukaan kedutaan ini, berlaku percanggahan nyata dengan janji beliau untuk menjadi perantara yang bersifat adil dan saksama terhadap kedua-dua belah pihak sama ada Israel mahupun Palestin, sepertimana yang beliau sendiri pernah nyatakan dalam kempen ceramahnya di hadapan badan pelobi Yahudi bagi parti Republikan AS, Republican Jewish Coalition pada Di­sember 2015 semasa bersaing dengan calon-calon parti Republikan lain.

Sebenarnya, hasrat AS untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara rejim Tel Aviv wujud sejak 1995 dengan kelulusan Jerusalem Embassy Act of 1995 oleh Kongres AS pada zaman pentadbiran Bill Clinton. Namun pelaksanaan undang-undang ini ditunda oleh Clinton dan kemudiannya oleh pentadbiran George W. Bush dan Barack Obama atas alasan akta itu tidak berperlembagaan kerana hak mengiktiraf ibu negara berada pada cabang eksekutif dan bukan legislatif.

Keadaan ini berterusan hinggalah ke zaman pentadbiran Trump. Namun demikian, ketika Trump berucap semasa menjadi calon partinya sebelum ini, beliau mengejutkan ramai dengan ke­nyataannya untuk bersikap berkecuali dalam semua perihal pertikaian antara Palestin dan Israel. Beliau juga pada mulanya enggan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara rejim Yahudi itu atas alasan ingin berjumpa dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dahulu.

Tidak menghairankan Trump diejek ketika memberi ceramah tersebut dan seperti lazimnya buat mereka yang tidak menyokong rejim Zionis, mula dilabel sebagai calon yang antisemitik dan kononnya tidak cukup komited terhadap Israel.

Tindakannya juga mengundang kemarahan ramai penyokong rejim Yahudi itu sehingga diwujudkan gerakan Never Trump dalam partinya sendiri yang berpendirian menolak Trump sebagai calon parti itu dalam pergelutan jawatan presiden AS dengan parti lawannya, iaitu parti Demokrat.

Tindakan Trump yang juga menolak sumbangan dana berkempen daripada ahli perniagaan konservatif yang menghadiri acara tersebut memberikan harapan besar pada umat Islam yang mengikuti arus politik AS pada ketika itu.

Ramai pemerhati berpanda­ngan setelah menunggu sekian lamanya, akhirnya bakal Presiden negara utama dunia yang mahu bertindak adil. Slogan America First yang dilaungkan Trump turut diharap menjadi titik permulaan negara yang mempunyai ketenteraan terkuat di dunia ini akan semakin kurang mencampuri hal ehwal negara Islam dan melancarkan peperangan dan konflik yang tidak berkesudahan.

Namun harapan tersebut didapati palsu sahaja. Rakyat Pa­lestin dan umat Islam tetap berhadapan dengan negara kuasa besar yang enggan tunduk pada undang-undang, melanggar hak asasi manusia dan norma-norma antarabangsa ketika memainkan peranannya di persada dunia.

Ini bukan sahaja terbukti de­ngan Trump menjadi Pre­siden pertama dalam sejarah AS mengiktiraf serta membuka kedutaan di bandar suci bagi ketiga­-tiga agama Yahudi, Kristian dan Islam iaitu Baitulmuqaddis, tetapi juga memungkiri perjanjian negaranya dengan Iran mengenai gencatan pembangunan senjata nuklear dengan bertindak keluar daripada perjanjian berkenaan.

Perlu diingatkan juga bahawa AS di bawah pentadbiran Trump juga telah keluar daripada Perjanjian Perubahan Iklim yang dipersetujui di Paris pada 2016.

Meskipun kedua-dua perjanjian antarabangsa itu dipersetujui AS pada zaman pentadbiran Obama, namun sebarang perjanjian yang dipersetujui, mengikut undang-undang antarabangsa malah prinsip kesepakatan, mestilah di­patuhi semua termasuk pentadbiran sesebuah negara pada masa akan datang.

Rakyat Palestin secara semula jadi menolak pengiktirafan biadab Trump ini dan kini sedang bangkit menentangnya dengan mengadakan demonstrasi besar-besaran Great March of Return di Tebing Gaza khususnya. Di sam­ping menentang pengiktirafan AS terhadap Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, mereka juga menolak kewujudan Israel sebagai negara yang bertanggungjawab merampas tanah air dan penyebab kesengsaraan buat mereka secara amnya sejak 1948.

Penentangan mereka yang berani ini menyebabkan lebih 100 rakyat Palestin terkorban dan berpuluh-puluh lagi mengalami kecederaan. Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) bangkit untuk menyiasat secara bebas kerakusan Israel, namun ini perlu dizahirkan segera dan disusuli dengan tindakan konkrit, dan masyarakat antarabangsa, khususnya umat Islam melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga-liga Arab, diharap melakukan lebih untuk membantu rak­yat Palestin dalam mengharungi cabaran di saat getir ini.

PENULIS ialah seorang peguam dan Ketua Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN