Jet tentera China mendarat di zon tuntutan bertindih - Utusan Malaysia

Jet tentera China mendarat di zon tuntutan bertindih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI – Tentera udara China mendaratkan beberapa pesawat pengebomnya di terumbu dan pulau di Laut China Selatan sebagai sebahagian daripada latihan tentera di zon tuntutan bertindih, katanya dalam satu kenyataan.

“Sebuah divisyen Tentera Udara Pembebasan Rakyat (PLAAF) mengerahkan pelbagai jenis pesawat pengebom seperti H-6K untuk melakukan aktiviti mendarat dan berlepas di beberapa buah pulau dan terumbu di Laut China Selatan dalam usaha meningkatkan ke­upayaan kami untuk mencapai semua wilayah, melancarkan serangan pada bila-bila masa dan menyerang dari semua arah,” kata PLAAF dalam satu kenyataan Jumaat lalu.

Kenyataan itu yang disiarkan di akaun sosial Weibo milik PLAAF, bagaimanapun tidak menyebut lokasi tepat latihan itu diadakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) mengerahkan beberapa kapal perangnya ke kawasan pertikaian di Laut China Selatan dalam usaha mencabar tuntutan meluas China di zon berkenaan yang turut dituntut oleh Vietnam, Filipina, Taiwan, Brunei dan Malaysia.

“AS kekal komited memastikan rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka. Operasi ketenteraan berterusan oleh China di kawasan tuntutan bertindih hanya akan meningkatkan ketegangan dan menjejaskan kestabilan rantau berkenaan,” kata jurucakap Pentagon, Leftenan Kolonel Christopher Logan.

Dalam perkembangan berkaitan, wakil-wakil rakyat Filipina mengecam kerajaan negara itu kerana gagal bertindak untuk mengekang penguasaan Beijing di Laut China Selatan.

Senator Risa Hontiveros mahu Manila menamatkan dasar tunduk kepada China, manakala ahli Kongres, Gary Alejano berkata, operasi ketenteraan China di Laut China Selatan mencetuskan kebimbangan global.

Beijing pula menyatakan kemudahan ketenteraan di zon tuntutan bertindih itu termasuk Kepulauan Spratly adalah untuk tujuan pertahanan dan ia berhak melakukan apa sahaja di wilayahnya sendiri. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini