LONDON – Pasangan pengantin diraja Britain, Putera Harry dan Meghan Markle memberi penghormatan kepada Puteri Diana apabila Duchess of Sussex yang baharu itu memakai cincin bertatahkan permata akuamarin milik mendiang pada majlis resepsi mereka di Frogmore House, London malam kelmarin.
Meghan memadankan aksesori zamrud itu dengan sehelai gaun putih rekaan Stella McCartney, pereka yang telah menghasilkan pakaian perkahwinannya.
Puteri Diana pernah menulis ‘surat istimewa’ yang mana beliau meminta barangan perhiasannya diberi kepada anak-anaknya dengan harapan mereka akan berkongsinya dengan isteri masing-masing suatu hari nanti.
Menurut akhbar The Sun, beliau menulis: “Saya mahu menyerahkan semua barang perhiasan saya untuk dijaga oleh anak-anak saya, agar isteri mereka mungkin, pada masa hadapan, memilikinya atau menggunakannya.
“Saya meninggalkan barang kemas ini mengikut budi bicara anda,” tulis Puteri Diana, menurut akhbar The Sun.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Putera Harry memberi cincin tersebut kepada isterinya sebagai hadiah atau sekadar ‘pinjaman’ untuk majlis resepsi itu.
Puteri Diana pernah memakai cincin memukau itu pada tahun 1996 semasa mendiang melawat Australia.
Cincin akuamarin tersebut bukan aksesori pertama milik Puteri Diana yang dipakai Meghan. Cincin pertunangannya yang memiliki dua biji berlian juga daripada koleksi peribadi mendiang. – Agensi











