Perjuangan nelayan berbaloi - Utusan Malaysia

Perjuangan nelayan berbaloi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN 20 Mei – Seramai 454 nelayan di Mukim Serkat yang terjejas ekoran kerja-kerja pembina­an benteng pemecah ombak di perairan Tanjung Piai menerima wang ihsan sebanyak RM908,000 daripada kerajaan Pusat.

MANSOR MAHIDIN

Pengerusi Jawatankuasa Ber­tindak Enam Pangkalan Nelayan, Mansor Mahidin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pusat kerana usaha mereka untuk mendapatkan pampasan sejak beberapa tahun lalu akhirnya menemui kejayaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, projek penambakan benteng pemecah ombak di perairan Mukim Serkat yang dilaksanakan oleh Jabatan Pe­ngairan Saliran (JPS) dengan kos RM70 juta telah menjejaskan pendapatan nelayan khususnya di enam pangkalan iaitu Pangkalan Perpat Timbul, Kampung Melayu Kukup, Parit Penghulu, Tanjung Piai, Chokoh dan Sungai Durian.

“Saya bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada kerajaan Pusat yang memahami masalah dihadapi oleh nelayan di kawasan Tanjung Piai,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis penyerahan sumbangan itu di Kompleks Penghulu Mukim Serkat di sini, baru-baru ini.

Yaacob Mohd. Said
YAACOB MOHD. SAID

Mansor memberitahu, ekoran projek tersebut, pendapatan nelayan semakin berkurangan berbanding sebelum projek itu dilaksanakan sehingga menyebabkan mereka sukar untuk menampung kos kehidupan harian keluarga.

“Jawatankuasa Bertindak yang ditubuhkan bertujuan menyuarakan permintaan kami supaya masalah yang dihadapi itu dide­ngari oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pang­kalan Nelayan Tanjung Piai, Yaa­cob Mohd. Said, 64, berkata, go­longan nelayan di kawasan ter­sebut bergantung dengan kerja-kerja menjaring ikan dan udang sebagai mata pencarian utama.

Dia mengakui sumbangan wang ihsan tersebut dapat meri­ngankan beban kewangan mereka terutamanya bagi yang masih mempunyai anak-anak berseko­lah serta tanggungan lain.

Azrul Othman
AZRUL OTHMAN

Menurutnya, bagi menambah pendapatan, mereka turut menternak kupang sejak tahun 2015 sekiranya tidak turun ke laut.

“Alhamdulillah, dengan doa dan kerja kuat Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Mansor Mahidin kami dapat menerima sumbangan wang ihsan ini,” katanya.

Azrul Othman, 29, pula memberitahu dia hanya dapat turun ke laut tiga kali seminggu memandangkan kawasan penangkapan ikan dan udang semakin terhad.

“Wang ihsan yang diterima ini akan disimpan sebagai tabungan pada masa kecemasan serta bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini