HARI ini 21 Mei, genap 10 hari kerajaan baharu menerajui tampuk kepimpinan negara. Secara matematiknya, 1/10 daripada tempoh janji 100 hari sudah berlalu dan tentunya rakyat Malaysia menanti apakah perancangan Pakatan Harapan terhadap sistem pendidikan untuk jangka panjang.
Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-47 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 Mei lalu memperlihatkan sambutan agak meriah tetapi pada masa sama seolah ada ‘awan mendung’ di wajah-wajah para hadirin.
Paling menarik perhatian adalah ucapan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad yang bersara wajib hari ini, mengucapkan terima kasih kepada guru-guru dan warga kementerian sepanjang tiga tahun di situ.
Menyingkap nostalgia, beliau berkongsi kisah memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Kementerian Pendidikan pada 1984 dan akhirnya menamatkan perkhidmatan di kementerian sama.
“Lebih menarik ketika itu Menteri Pendidikan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, kini pada akhir perkhidmatan saya Dr. Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri,” ujarnya.
Penulis yakin, Menteri Pendidikan baharu, Dr. Maszlee Malik akan meneruskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 memandangkan ia merupakan pelan menyeluruh yang merangkumi hala tuju sistem pendidikan negara bermula dari prasekolah hingga pendidikan menengah.
Diharap Ahli Parlimen Simpang Renggam itu boleh merealisasikan idea bagaimana kita dapat mencontohi Finland dalam pendidikan terutama aspek peranan guru dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc).
Hal ini sungguhpun bukan mudah tetapi tidak mustahil direalisasikan apatah lagi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah pun mengumumkan pewujudan jawatan pembantu pengajar yang akan meringankan bebanan para guru.
Sudah tentu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah memegang portfolio Menteri Pendidikan sebelum ini, dapat berkongsi kepakaran beliau mengenai PPPM serta penambahbaikan yang perlu dibuat agar ia dapat dijayakan seiring dan sejalan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Rakyat akan kembali merujuk kepada Buku Harapan yang merupakan manifesto kerajaan hari ini sebelum tarikh sejarah besar 9 Mei 2018 kerana banyak yang menyentuh pendidikan seperti Janji 31 (muka surat 90), Janji 38 (106), Janji 40 (113) dan banyak lagi.
Namun yang paling penting adalah Janji 44: Memperbaiki kualiti pendidikan dan khidmat kesihatan (120, 121), Janji 49: Menjadikan sekolah-sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan terbaik untuk rakyat (130-133) dan Janji 50: Mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi (134-136).
Ada yang mengatakan manifesto sebelum pilihan raya bukanlah sebuah janji, namun kita berpandangan positif kerajaan hari ini akan melakukan sedaya termampu untuk memacu generasi muda menghadapi masa depan yang lebih mencabar.
Tanpa menyentuh sebarang isu politik, adalah adil untuk mengatakan kerajaan sebelum ini (termasuk sewaktu Dr. Mahathir mentadbir) sudah melakukan yang terbaik dalam menjayakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan baton yang diserahkan kepada kerajaan yang baharu ini memerlukan pacuan untuk sektor pendidikan terus maju dan diiktiraf dunia.











