Peranan wanita Indonesia menangani bencana alam - Utusan Malaysia

Peranan wanita Indonesia menangani bencana alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETiaP kali hujan lebat melanda Jogjakarta, Indonesia, seorang guru, Muryani pasti tidak melupakan bencana banjir yang paling buruk pernah dialami 35 tahun lalu.

Masih segar diingatannya, pada hari berkenaan dia sedang tidur bersama ibu dan dua adiknya di dalam pondok buluh.

Sesekali dia akan terjaga untuk memantau kambing peliharaan kerana khuatir dicuri. Dia begitu takut untuk tidur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selang beberapa ketika, air naik dengan begitu deras…ia berlaku dalam masa yang singkat.

“Saya sangat bimbang dengan keadaan ibu pada ketika itu, dia sudah tua. Kami semua takut jika lemas,” katanya yang pada ketika itu baru berusia sembilan tahun.

Muryani merupakan salah seorang penduduk yang masih menetap di sebuah perkampungan kecil yang didiami kira-kira 300 penduduk.

Perkampungan berkenaan terletak di sebatang sungai berhampiran Gunung Merapi iaitu Pedak Baru, Indonesia.

Sejak banjir kerap melanda, Muryani dan 25 wanita tempatan lain telah bekerjasama dengan Unit Kecemasan Yayasan Kristian untuk Kesihatan Umum (YAKKUM) iaitu sebuah projek yang menjalankan aktiviti untuk membantu melindungi komuniti wanita daripada bencana.

Mangsa bencana

Menurut pegawai ketahanan Bank Dunia, republik Indonesia membelanjakan kira-kira AS$300 juta (RM12 milion) hingga AS$500 juta (RM20 milion) setiap tahun untuk membaik pulih semula kemusnahan yang berlaku selepas bencana.

Walaupun negara di Asia Tenggara itu telah mengurangkan kadar kemiskinan dalam tempoh dua dekad lalu, namun bencana yang berlaku telah meningkatkan kembali garis kemiskinan penduduk.

Bagaimanapun pakar-pakar berpendapat, wanita boleh memainkan peranan penting dalam meminimumkan risiko menjadi mangsa bencana untuk keluarga dan jiran mereka.

Wanita-wanita desa di Indonesia agak ketinggalan apabila mereka terlalu sibuk menguruskan rumah tangga.

Ini boleh menyebabkan mereka tercicir di rumah semasa pemindahan atau tidak menyedari prosedur keselamatan.

“Apabila anda mengimbau tsunami tahun 2004, kebanyakan mangsa adalah wanita,” kata seorang penyelidik di Institut Sains Indonesia, Irina Rafliana. Tambahnya, wanita yang selamat daripada malapetaka besar sering menjadi orang yang bertanggungjawab untuk membina kembali keluarga mereka dalam keadaan yang sukar.

Seperti di kebanyakan negara di Asia, wanita sering menjaga keharmonian dan kewangan keluarga. Dengan erti kata lain, mereka adalah individu yang paling sesuai untuk mencadangkan cara melindungi kehidupan, harta dan pendapatan.

Misalnya, apabila bencana berlaku, wanita cenderung menyimpan dokumen-dokumen penting.

Disebabkan wanita menghabiskan lebih banyak masa di kawasan kejiranan mereka dapat menentukan kawasan berisiko tinggi dan mempengaruhi rakan sebaya.

“Jika anda membandingkan Indonesia dengan negara lain di Asia Tenggara, peranan wanita dalam pengurangan risiko bencana adalah antara yang paling kuat,” kata Rafliana.

Terletak di sepanjang Benteng Pasifik, Indonesia mempunyai lebih dari 17,000 pulau dan menghadapi banyak ancaman semula jadi termasuk gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi.

Kesan perubahan iklim seperti banjir dan kemarau turut memburukkan lagi keadaan.

Bagi Muryani dan keluarganya, banjir sering memusnahkan barang dan perabot mereka sehingga dia tidak mampu untuk menggantikan dengan yang baharu.

Keadaan itu juga memaksa dua anaknya kehilangan sekolah, namun latihan bencana yang diberikan amat membantu.

“Ia memberikan kita kesedaran mengenai apa yang perlu dilakukan apabila banjir berlaku dan bagaimana untuk bersiap sedia,” katanya.

Menurut pejabat Bank Dunia, Indonesia telah mengalami purata 290 bencana alam setiap tahun sejak tiga dekad lalu.

Ia termasuklah tsunami pada tahun 2004 di Lautan Hindi yang telah membunuh kira-kira 167,000 penduduk Indonesia.

Selepas kejutan itu, Jakarta memperbaharui institusi, undang-undang dan dasar untuk menguruskan risiko bencana.

Kemajuan

Kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang pengurusan bencana pada tahun 2007. Pendekatan baharu itu membawa kepada pengukuhan agensi pengurusan bencana Indonesia dengan wakil dan cawangan diletakkan di seluruh daerah.

Agensi bencana kini menggalakkan kumpulan masyarakat sivil seperti YAKKUM untuk melibatkan lebih banyak wanita dalam usaha untuk membangun daya tahan.

“Walaupun telah banyak kemajuan besar yang dibuat pada tahun-tahun kebelakangan ini tetapi ia masih belum mencukupi. Sejumlah besar jabatan kerajaan harus memasukkan pengurangan risiko bencana dalam projek mereka, terutama di peringkat tempatan.

“Setiap bencana tidak berada pada skala nasional, ia boleh menjadi bencana di daerah atau bencana setempat,” kata Arghya Sinha Roy dari Asian Development Bank di Manila. 
– Rueters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini