Sekolah Agama Bagan dibina pada tahun 1904 - Utusan Malaysia

Sekolah Agama Bagan dibina pada tahun 1904

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Deringan bunyi loceng tepat pukul 2 petang membuatkan sekalian kanak-kanak lari bertempiaran di pekarangan Sekolah Agama Bagan, Batu Pahat, Johor.

Ketika itu, kelihatan beberapa susuk kanak-kanak lelaki lengkap berpakaian baju Melayu berwarna putih lingkungan umur tujuh hingga 12 tahun yang sedang bermain terus bergegas untuk masuk ke kelas masing-masing.

Tidak kurang juga kanak-kanak perempuan yang manis berpakaian baju kurung sambil menggalas beg yang terkandung pelbagai kitab.

Memuatkan artikel berkaitan…

Melihat ragam kanak-kanak itu membuatkan Abdul Hamid Isnin, 78, tersenyum lebar.

Ia tidak ubah seperti memori Abdul Hamid sendiri ketika dalam sesi persekolahan tersebut kira-kira hampir enam dekad lalu.

Ujar lelaki kelahiran Batu Pahat itu, sekolah tersebut tempat dia dan rakan-rakannya mempelajari pelbagai asas ilmu agam seperti tauhid, fekah, ibadat dan al-Quran suatu masa dahulu.

Suasana

Meskipun begitu, suasana tersebut diakui sedikit berbeza pada masa kini.

“Dulu, selagi belum pandai menulis tulisan Jawi dan baca al-Quran, selagi itu tidak boleh pergi sekolah.

“Itu sebablah biasanya sudah tua baru dapat jejak kaki ke sekolah dan mempelajari ilmu tertentu.

“Sekarang lebih untung, kecil-kecil lagi sudah dapat pergi belajar ilmu agama,” ujarnya.

Hal ini kerana rata-rata pelajar tahun satu di sekolah rendah dikehendaki untuk menduduki tahun satu sekolah agama.

Sekolah Agama Bagan ditubuhkan pada tahun 1904. Sekolah tersebut dibina oleh penduduk kampung dari kawasan sekitar Batu Pahat dan mendapat sokongan penghulu ketika itu iaitu Jaafar Sidek.

“Sekolah Agama Bagan mendapat namanya sempena nama kampung Bagan itu sendiri.

“Nama kampung Bagan itu pula diambil daripada perkataan bebagan yang membawa maksud jeti atau pangkalan.

“Hal ini kerana, pekerjaan utama majoriti penduduk pada waktu itu ialah nelayan, peraih dan juga pekebun kecil,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Batu Pahat baru-baru ini.

Dalam pada itu, Guru Besar ke-17, Sekolah Agama Bagan, Zulkifli Kassim berkata, sekolah berkenaan bermula di Sekolah Orang Kaya (Bagan D). Kini tempat itu telah didirikan rumah guru.

Ia kemudiannya berpindah ke Sekolah Bagan C yang kini ditukar kepada Pusat Kegiatan Guru bagi zon Bagan.

Perpindahan kedua Sekolah Agama Bagan pula adalah ke lokasi Sekolah Bagan A yang sekarang ini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Bagan.

Episod perpindahan berlaku lagi selepas itu dan kali ini lokasinya ialah di Balai Raya Bagan.

Selepas tiga kali dipindahkan, Sekolah Agama Bagan akhirnya kekal didirikan di pekarangan Masjid Bagan di Bagan B pada tahun 1968.

Sejak itu, Sekolah Agama Bagan didirikan dengan Bangunan Seri Beringin setelah mendapat kebenaran penyerahan bangunan dan tapak sekolah daripada Pejabat Pelajaran Negeri Johor.

Bangunan Seri Beringin ini mempunyai tiang batu sekerat, beratapkan genting kecil, kipas kayu dan siap dibina pada tahun 1972.

Pusat ilmu

“Bangunan ini masih digunakan sebagai bilik darjah dan bilik mesyuarat setelah dibaik pulih pada akhir tahun 2001.

“Dari proses memotong hingga mencantum, semuanya dikendalikan menggunakan kudrat penduduk kampung.

“Menariknya, Bangunan Seri Beringin yang dibangunkan menggunakan kayu ponak itu tidak sedikitpun dimakan dek hari dan berkekalan sehingga ke hari ini,” jelasnya yang telah berkhidmat sebagai guru besar sejak empat tahun lalu.

Sekolah Agama Bagan suatu masa dahulu menjadi pusat tumpuan ilmu agama di kawasan setempat dan menjadi antara institusi pendidikan agama bersistem yang terawal di bumi Johor selain Sekolah Agama Bukit Zahrah, Johor Bahru.

Para murid dapat mempelajari ilmu agama yang menyeluruh mengikut modul, kitab dan guru yang diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Ia merupakan sebahagian daripada 579 buah Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) yang usianya mencecah 100 tahun.

Katanya, JAINJ mewajibkan semua kanak-kanak untuk menduduki sekolah agama sama ada pada sesi pagi mahupun petang.

Ia sama pentingnya seperti pendidikan konvensional di peringkat sekolah rendah.

Hal ini kerana menurut Zulkifli, Sultan Johor, Almarhum Sultan Abu Bakar Ibrahim Shah dahulunya mahu menerapkan pendidikan agama seawal peringkat kanak-kanak lagi menerusi pembentukan Sekolah Agama Kerajaan Johor.

Tulisan Jawi

Ironinya, apabila sistem persekolahan sekolah agama menetapkan murid darjah satu sekolah kebangsaan wajib juga didaftarkan sebagai murid darjah satu di sekolah agama bermula pada tahun 2000, ia telah menyebabkan jumlah murid semakin berkurangan setiap tahun di Sekolah Agama Bagan.

Lantaran itu, persekolahan sesi pagi di sekolah itu ditutup sejak tahun 2005 dan hanya tinggal satu sesi persekolahan sahaja iaitu sesi petang sehinggalah ke hari ini.

Kongsi Zulkifli, jumlah keseluruhan pelajar dari darjah satu hingga darjah khas kini mencecah 200 orang murid manakala tenaga pengajar seramai empat orang.

Tambah Zulkifli, selain memberikan pendidikan khusus berkaitan ilmu agama kepada golongan kanak-kanak, sekolah agama juga dilihat sebagai medium terbaik memelihara dan memperkasa warisan tulisan Jawi.

“Murid-murid akan diajar untuk menulis dalam tulisan Jawi dan insya-Allah selepas berjaya menamatkan pelajaran nanti, lahirnya generasi yang masih berupaya mengekalkan tulisan tersebut.

“Kalau dulu ada juga akhbar dalam tulisan Jawi namun malangnya sekarang sudah tiada lagi.

“Hal ini perlu diberi penekanan kerana tulisan Jawi kini semakin dilupakan dan dikhuatiri akan terus pupus sekiranya tidak dipelihara,” tegasnya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Agama Bagan, Saadiah Hussin berkata, cita-cita menjadi seorang guru agama sememangnya menjadi impiannya sejak di bangku sekolah lagi.

Minatnya yang mendalam terhadap bahasa Arab sedikit sebanyak membantu Saadiah membulatkan tekad untuk mendidik generasi muda dengan ilmu agama.

Namun, Saadiah tidak pernah menyangka dirinya akan menjadi tenaga pengajar di Sekolah Agama Bagan iaitu sekolah sama yang diikuti pada usia kecil.

“Saya pernah bersekolah di Sekolah Agama Bagan ini berpuluh tahun dahulu dan pada tahun 2005 saya kembali semula ke sekolah yang sama sebagai guru sehinggalah sekarang.

“Sedikitpun saya tidak pernah terlintas untuk kembali menjejakkan kaki ke sini.

“Ilmu yang diturunkan oleh guru-guru pada sesi persekolahan dahulu tidak sesekali dilupakan dan kini menjadi tugas saya untuk menyampaikan kepada generasi baharu,” katanya.

Sekolah Agama Bagan yang ditubuhkan lebih seabad lalu turut berhadapan dengan pelbagai ancaman daripada pihak luar.

Selama hampir 13 tahun bertugas, Saadiah pernah beberapa kali didatangi oleh individu yang mahu merobohkan Bangunan Seri Beringin.

“Individu itu mencari mana-mana bangunan lama di sekitar kampung untuk dirobohkan.

“Dia terus datang tanpa ada perakuan surat daripada pihak berkuasa dan katanya mahu merobohkan bangunan usang atas faktor keselamatan.

“Kami memang bertegas melawan tentangan itu kerana Bangunan Seri Beringin ini masih lagi digunakan dan tiada masalah dari segi keselamatan kerana ia sentiasa dikawal selia oleh pihak pengurusan sekolah,” tambahnya.

Jelas Saadiah, walaupun bangunan itu semakin berusia, usaha membaik pulih dan mencantikkan semula prasarana itu kerap dilakukan.

Ia bagi memastikan keadaan sekolah itu dalam keadaan selamat dan kekal terjamin.

Sekolah Agama Bagan, Batu Pahat, Johor yang bertunjangkan empat orang guru mendidik kira-kira 200 pelajar dari tahun satu hingga Darjah Khas setiap tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini