Jadikan Piala Thomas 2018 bersejarah - Utusan Malaysia

Jadikan Piala Thomas 2018 bersejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK 20 Mei – Jaguh No. 1 negara, Datuk Lee Chong Wei berharap Piala Thomas kali ini akan mencatat sejarah istimewa buat Malaysia kerana pertama, pasukan negara tidak pernah muncul juara selepas 26 tahun dan kedua, lima anggota skuad menyambut ulang tahun kelahiran mereka ketika kejohanan berlangsung.

LEE CHONG WEI berharap skuad badminton negara dapat mencipta sejarah tersendiri di pusingan akhir Piala Thomas 2018 yang sedang berlangsung di Bangkok.

Jaguh beregu negara, Goh V Shem meraikan ulang tahun ke-29 hari ini bersama pengurus pasukan yang juga Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pasangan V Shem, Tan Wee Kiong pula genap 29 tahun esok, manakala Iskandar Zulkarnain Zainuddin menyambut ulang tahun ke-27 pada 24 Mei, diikuti jurulatih beregu, Paulus Firman pada 25 Mei. 

“Malam ini pasukan akan keluar makan untuk meraikan mereka yang menyambut ulang tahun di sini.

“Saya doakan semoga ia menjadi sambutan ulang tahun terbaik buat mereka dan kami semua akan mengharungi kejohanan yang baik,” kata Chong Wei ketika ditemui pada sesi latihan di Gelanggang Badminton Hippocampus di sini, hari ini.

Mengenai perlawanan pertama menentang Rusia esok, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu berkata, pemain Malaysia sudah dipersiapkan secara mental dan fizikal untuk berdepan sesiapa sahaja.

“Ya, sesi latihan sudah berjalan sejak di Kuala Lumpur, setiap hari, namun untuk kejohanan seperti Piala Thomas, kami juga memperbanyakkan aktiviti berpasukan bagi memupuk semangat sebagai satu pasukan.

“Saya sendiri beberapa kali bercakap kepada pemain muda, kalau mereka ada masalah yang boleh kami bantu, kalau mereka takut atau tertekan. Saya sebagai kapten dan Wee Kiong penolong ketua pasukan, banyak memberi nasihat kepada pemain-pemain  ini untuk menyiapkan mereka menghadapi satu pertarungan penting.

“Piala Thomas tidak mudah, dan esok kami akan bertemu Rusia  ia satu cabaran hebat, namun saya percaya kami sudah bersiap sedia untuk akhirnya turun bertarung selepas beberapa bulan menyiapkan diri,” katanya lagi.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini