KUALA TERENGGANU 20 Mei – Kaedah pemberian royalti minyak daripada kerajaan Pusat kepada Terengganu masih belum diputuskan walaupun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi jaminan tentang penyalurannya.
![]() |
|
RAJA KAMARUL BAHRIN
|
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, sehubungan itu perbincangan selanjutnya akan diadakan tanpa menyebut sama ada kemungkinan akan disalurkan terus kepada kerajaan negeri atau melalui agensi Pusat.
Dalam soal itu, Raja Kamarul Bahrin juga mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa beliau bersedia memain peranan sebagai ‘jambatan’ atau penghubung antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri.
“Kenyataan Tun Dr. Mahathir yang Terengganu dan Kelantan akan dapat wang royalti disambut baik oleh rakyat jelata dan diri saya sendiri. Perbincangan bersama seterusnya akan menetapkan cara serta formula pembahagian wang royalti tersebut.
“Justeru bagi menghormati bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita kurangkan polemik serta kurangkan pergeseran politik untuk seketika. Lebih baik kita duduk berbincang secara berhemah dan konstruktif untuk kebaikan bersama demi rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau akan bersikap proaktif untuk memelihara suasana yang lebih baik supaya rakyat Terengganu tidak ketinggalan dalam perubahan positif yang akan dibawa pentadbiran baharu di Putrajaya.
Tambahnya, rakyat yang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lagi ditabur dengan janji sudah tentu ingin melihat hasrat itu menjadi realiti dengan kerja-kerja yang konstruktif. – UTUSAN ONLINE












