BETONG – Malang menimpa seorang lelaki apabila dia menemui ajal selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain di Jalan Beladin-Meludam di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu mengakibatkan, mangsa yang dikenal pasti sebagai Roslee Ebi meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dikatakan sedang menuju ke arah Beladin dari Meludam di sini.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal lain yang ditunggang seorang lelaki tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa.
“Impak rempuhan itu telah mengakibatkan mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah pada kepala serta kakinya dan maut serta-merta di tempat kejadian.
“Namun, seorang lagi penunggang motosikal hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, pihak polis sudah merakam keterangan daripada penunggang motosikal yang selamat itu untuk siasatan lanjut.
Jelasnya, mayat mangsa sudah dituntut oleh waris untuk urusan pengebumian.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











