SIBU 20 Mei – Sebanyak 565 balak haram berjaya dirampas pasukan penguat kuasa Sarawak Forestry Corporation (SFC) Pejabat Daerah Sibu pada dua lokasi di sepanjang tebingan Sungai Setalun, Belawai, Sarikei pada Khamis lalu.
Menurut SFC dalam kenyatan hari ini memberitahu, kayu balak yang dipercayai diperolehi secara haram dari hutan berhampiran dikesan ketika aktiviti rondaan dijalankan di situ.
“Kita percaya mereka menggunakan jengkaut dengan mengumpulkan kayu balak itu di satu tempat sebelum memindahkannya di tempat lain.
“Kesemua kayu balak itu tidak mempunyai sebarang tanda rasmi dan tiada individu yang dikesan ketika penemuan berkenaan,” jelas kenyataan itu.
Tambahnya, laporan telah dibuat di Balai Polis Belawai dan kesemua kayu balak itu diserahkan kepada Jabatan Hutan untuk siasatan dan tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE











