KUALA LUMPUR 20 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan satu lembaga siasatan bagi mengenalpasti dan menyiasat punca sebenar kematian pegawai dalam latihan, Pegawai Kadet Graduan (PKG), J. Soosaimanicckam, petang semalam.
TLDM dalam satu kenyataan memberitahu, lembaga siasatan yang ditubuhkan itu bagi meneliti prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk melihat kembali jika terdapat sebarang pelanggaran terhadap prosedur yang ditetapkan.
“Jika terdapat isu pelanggaran SOP, TLDM tidak akan berkompromi atau melindungi mereka yang melanggar prosedur semasa melaksanakan tugas,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.
Semalam, Soosaimanicckam disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak pada pukul 1.45 petang.
Sebelum itu, pada 12 Mei lalu, Soosaimanicckam melaporkan diri di Kapal Diraja (KD) Sultan Idris I bagi menjalani latihan Kursus Kelayakan Pegawai Graduan.
Pada pagi hari kejadian, dia bersama rakan-rakan lain menjalani latihan fizikal seperti termaktub dalam rutin jadual harian pelatih dan diselia oleh jurulatih jasmani TLDM.
Bagaimanapun, pada pukul 12.20 tengah hari, Soosaimanicckam mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapan dan seterusnya dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Lumut.
Dia kemudian diberikan bantuan pernafasan dan rawatan lanjut oleh doktor yang bertugas namun disahkan meninggal dunia semalam. – UTUSAN ONLINE











