KUALA LUMPUR 20 Mei- Polis menembak mati seorang lelaki warga Afrika dipercayai terlibat dengan kes samun dalam penipuan tukaran mata wang asing sehingga kerugian lebih RM11.7 juta di Jalan Memanda 2, Ampang dekat sini semalam.
Insiden berlaku kira-kira pukul 2.50 pagi apabila Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Kontinjen Polis Kuala Lumpur melakukan rondaan dan terlihat seorang lelaki meminta tolong dan memaklumkan dirinya dirompak di Jalan Damai, Cheras di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihak polis kemudian mengejar lima lelaki yang melarikan diri dengan sebuah Toyota Vios.
“Lelaki tersebut cuba menyerang pihak polis sehingga empat das tembakan terpaksa dilepaskan untuk melindungi diri. Suspek maut di lokasi kejadian.
“Kita turut menahan empat lagi lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan dua suspek warga Afrika kini diburu bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Tambah Mazlan, kes disiasat di bawah Seksyen 394/397 dan Sekyen 307 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











