KUALA LUMPUR 20 Mei – Sekumpulan 50 ahli Puteri UMNO mengunjungi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini, hari ini.
Diketuai Exco, Dira Abu Zahar, kumpulan tersebut tiba kira-kira pukul 8.15 pagi sebelum dilihat keluar meninggalkan kediaman berkenaan kira-kira sejam kemudian.
Dira ketika ditemui di luar kediaman tersebut memberitahu, Najib berada dalam keadaan baik dan sangat positif walaupun berdepan dengan pelbagai dugaan kebelakangan ini.
Ujarnya, bekas Presiden UMNO itu turut menasihati Puteri UMNO supaya terus bersatu hati dan jangan sesekali mudah mengalah dalam perjuangan.
“Kehadiran kami bagi menyatakan sokongan Puteri termasuk dari aspek moral dan semangat dalam keadaan beliau diduga.
“Kita pun tak dapat jumpa lama sebenarnya sebab beliau akan bergerak keluar sekejap lagi. Sebenarnya ramai lagi rakan dari MCA dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan hadir,” katanya. – UTUSAN ONLINE











