ALOR SETAR 20 Mei – Sebanyak 10 rumah kedai yang terletak dalam satu deretan musnah dalam kebakaran yang berlaku di pekan Pokok Sena, di sini, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Kanan Bomba I Nazri Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.09 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati didapati sederet 10 rumah kedai 2 tingkat kelas B berkeluasan 20 x 70 kaki setiap unit, sedang terbakar.
“Pemeriksaan mendapati tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu dan kami mengambil masa kira-kira 29 minit untuk mengawal kebakaran,” katanya.
Tambahnya sehingga kini kerja-kerja pemadaman sepenuhnya sedang dijalankan dengan punca kejadian dan jumlah kerugian sedang disiasat.











