Strategi Pembebasan Palestin - Utusan Malaysia

Strategi Pembebasan Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tarikh 14 Mei 2018 bakal diingati dalam lipatan sejarah dunia sebagai hari apabila kezaliman dan penindasan ke atas warga Palestin tidak terbendung lagi. Gabungan pelbagai bentuk kezaliman ini termasuklah penerusan pembunuhan beramai-ramai ke atas warga Palestin yang menyertai Great March of Return oleh Zionis Israel dan juga tindakan Amerika Syarikat (AS) meneruskan upacara simbolik pemindahan kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Apa yang memeritkan adalah hakikat bahawa kesemua bentuk kezaliman ini dilakukan menjelang Hari Malapetaka (Hari Nakba) 15 Mei, yakni hari di mana tidak kurang 700,000 penduduk Palestin dihalau rejim Zionis dari tanah mereka pada 1948. Rejim haram Zionis sebaliknya menyambut tarikh berkenaan sebagai tarikh kemerdekaan ‘negara’ mereka.

Pastinya, dalam mendepani sebarang konflik di peringkat antarabangsa, badan dunia yang disandarkan harapan ialah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Setiap tindakan mahupun langkah yang ingin diambil oleh sesebuah negara ke atas sesebuah negara lain yang berdaulat memerlukan izin dan restu PBB.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sememangnya umat Islam hari ini turut bersatu dalam sebuah institusi antara kerajaan yang satu iaitu Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) namun ia tidak memiliki mandat seperti mana PBB.

Hal demikian kerana hanya PBB merupakan badan yang dianggotai dan diwakili oleh hampir kesemua negara bangsa yang berdaulat pada hari ini. Maka, sebarang langkah campur tangan oleh sesebuah negara ke atas sebarang konflik di luar wilayah berdaulatnya memerlukan lampu hijau daripada PBB. Antara contoh yang jelas ialah kes di Bosnia dan Sudan.

Dalam kedua-dua kes berkenaan, PBB melalui Majlis Keselamatan (UNSC) telah memberi lampu hijau kepada Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) untuk campur tangan secara ketenteraan di Bosnia dan Sudan. Keizinan yang diberi PBB kepada NATO itu adalah bersyarat.

Sesebuah negara hanya boleh campur tangan sekiranya didapati kerajaan di negara yang disasarkan gagal untuk melindungi nyawa dan keselamatan warga yang hidup di dalam wilayah sempadan berdaulatnya. Bagaimana pula dalam kes pembunuhan besar-besaran rejim haram Zionis ke atas penduduk Palestin pula?

Dari segi fakta tiada siapa yang mampu menafikan bahawa bumi Baitulmuqaddis hari ini diduduki secara haram oleh Israel. Tidak cukup dengan menjajah wilayah Palestin selepas kemenangan mereka dalam Perang Enam Hari 1967, rejim Zionis berterusan pula membenarkan pembinaan penempatan haram Yahudi di tanah milik warga Palestin dan seterusnya membunuh rakyat Palestin yang berarak menuntut hak mereka.

Di mana PBB dan UNSC dalam menentang kezaliman Zionis ini? Di mana NATO ketika ratusan rakyat Palestin yang tidak berdosa syahid dibunuh semata-mata kerana menuntut hak mereka yang sah?

Jawapannya tidak lain dan tidak bukan: PBB dan masyarakat antarabangsa hanya mampu sekadar mengecam dari jauh.

Lebih mengecewakan, AS yang dianggap sebagai negara paling terkehadapan dalam mempromosi dan memelihara hak asasi manusia sebenarnya telah bertindak sebagai pelindung kepada pencabul hak asasi manusia yang paling kejam dalam sejarah.

Sistem PBB khususnya Majlis Keselamatan secara dasarnya berfungsi seperti berikut: terdapat lima belas negara anggota Majlis Keselamatan di mana lima daripadanya ialah ang­gota tetap manakala sepuluh lagi negara anggota tidak tetap. Kelima-lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan ialah AS, Rusia, Perancis, China, dan UK.

Sebarang keputusan yang ingin diambil oleh Majlis Keselamatan PBB mestilah tidak dibantah atau dibatalkan oleh mana-mana satu negara anggota tetap.

Terus berharap

Namun sampai bila harus umat Islam terus berharap pada ihsan PBB yang tidak kunjung tiba? Dalam keadaan kekuatan ekonomi dan pengaruh politik pelobi Zionis Israel yang berleluasa di Amerika – ke tahap di mana calon Presiden AS memerlukan sokongan mereka – hampir mustahil untuk mengharapkan kuasa dunia itu bertindak adil kepada Palestin.

Terdapat beberapa strategi pembebasan Palestin yang boleh dipertimbangkan. Strategi pada peringkat pertama ialah di dalam Palestin itu sendiri. Sudah tidak menjadi rahsia umum, pertikaian Hamas-Fatah berlangsung sejak sekian lama tanpa penyelesaian yang konstruktif. Maka sewajarnya Hamas dan Fatah memberi tumpuan bersungguh-sungguh ke atas aspek yang mereka boleh persetujui bersama – selain daripada isu politik, tentu sekali mereka wajar bekerjasama dalam aspek pembangunan manusia seperti pendidikan.

As-Syahid Imam Dr. Fadi al-Batsh iaitu seorang Imam teknokrat yang dibunuh di Malaysia baru-baru ini ialah antara contoh terbaik strategi ini. Imam Dr. Fadi bukan sahaja merupakan seorang yang hebat dari segi pengetahuan agamanya – hinggakan seringkali dijemput mengimamkan solat tarawih di Malaysia – bahkan juga pakar dalam teknologi tenaga dan cekap menguruskan pengutipan dana dari luar negara untuk membantu membangunkan Palestin.

Pastinya strategi pemerkasaan warga Palestin ini tidak akan memberi impak tanpa kerjasama negara-negara Islam yang lain. Walau bagaimanapun, kewujudan persaingan beberapa blok pakatan berbeza menatijahkan pengabaian berterusan akan nasib Palestin yang tidak jauh dari negara mereka.

Jika Arab Saudi cuba mengetuai Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan menjadikan negara seperti UAE, Mesir, Bahrain, Kuwait, dan Jordan sebagai sekutunya, demikian juga Iran dengan peluasan pengaruh di Syria, Jordan, dan Iraq.

Turki pula turut membina pangkalan tentera di Qatar dan menyertai operasi di Syria. Turki juga pro-Ikhwan, iaitu sebuah pertubuhan Islamis yang paling berpengaruh di peringkat global, termasuklah cawangannya Hamas di Palestin. Maka sewajarnya fokus yang lebih besar dialihkan kepada kepentingan Palestin.

Tuntutan kuat dan bersama perlu dilakukan dalam memperkuatkan kedudukan Palestin dalam berhadapan dengan Zionis – termasuklah dengan pengurangan kebergantungan berterusan kepada ekonomi Amerika Syarikat (AS) bagi menghapuskan cengkaman politik Washington di negara-negara Timur Tengah ini.

Strategi ketiga ialah dalam hubungan dengan negara bukan Islam seperti AS, Eropah, China, Rusia, Jepun, Korea Selatan, dan sebagainya. Warga Palestin dan Islam perlu giat membina rangkaian kesedaran di negara-negara ini tentang realiti penindasan Palestin di tangan Zionis.

Tentulah kempen akan kekal sekadar kempen, sekiranya tidak disertai langkah susulan yang substantif. Umat Islam perlu menawarkan manfaat dan faedah kepada mereka yang menyertai usaha pemerkasaan warga Palestin dan penentangan penindasan Zionis.

Langkah membina rangkaian politik dan ekonomi secara berstruktur dengan anggota masyarakat ini berpotensi memberi pulangan positif untuk kepentingan Palestin.

Tentulah penguasa sedia ada di negara-negara yang berpengaruh ini berada di bawah sokongan rangkaian sedia ada – kebanyakannya pro-Zionis – maka sasaran seharusnya dihalakan kepada usaha memenangi hati nurani warga biasa yang bakal membentuk momentum pengaruh politik pada masa hadapan.

n PENULIS ialah Pensyarah Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini