[VIDEO] Kerajaan perlu berlaku adil - Utusan Malaysia

[VIDEO] Kerajaan perlu berlaku adil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu undang-undang negara perlu dipatuhi oleh sesiapa sahaja termasuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.


Video oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH

Dalam temu bualnya bersama Malay Mail, bekas Perdana Menteri itu berkata, Dr. Mahathir juga perlu dipantau mengikut undang-undang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam apa-apa keadaan se­kalipun, ia perlu adil. Undang-undang perlu dikenakan secara adil terhadap sesiapa dan semua orang mesti mematuhi undang-undang.

“Maksud saya, jika anda me­nerima 30 ekor kuda daripada rakan-rakan anda, perkara itu juga perlu diambil kira kerana beliau (Dr. Mahathir) sendiri mengakuirnya secara terbuka. Kuda-kuda itu diberikan oleh rakan-rakannya.

“Beliau menerima keseronokan daripada rakan-rakannya dan meng­akuinya dengan terbuka,” kata Najib dalam temu bual itu yang disiarkan oleh Malay Mail hari ini.

Dalam temu bualnya bersama CNN Indonesia dua tahun lalu, Dr. Mahathir mendedahkan minatnya terhadap kuda selain memberitahu beliau memiliki hampir 40 ekor kuda dan ada di antaranya diberikan kepada beliau.

Pada masa sama, Najib juga mempersoalkan kedudukan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewa­ngan, memandangkan Setiausaha Agung DAP itu masih perlu melalui perbicaraan atas dakwaan ra­suah.

Sementara itu, Najib juga dilaporkan memberitahu pihak polis bahawa dirinya berada dalam keada­an bahaya dan meminta diberi perlindungan saksi dalam siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib membuat laporan tersebut semalam di Ibu pejabat Polis Sentul pada pukul 5 petang dan dalam laporan polis yang dilihat oleh Malay Mail, Najib berkata, terdapat ancaman jelas terhadap beliau dan ahli keluarganya dan membuat permohonan rasmi untuk diletakkan di bawah perlindungan saksi.

Dalam laporan polis itu, Najib mendakwa melalui sumbernya, ancaman bukan sahaja dari dalam malah luar negara dan difahamkan ancaman tersebut adalah daripada pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan dana 1MDB di peringkat antarabangsa.

Najib juga berkata, anggota polis daripada Unit Jenayah Komersial Bukit Aman juga berada di kediaman beliau pada malam 10 Mei lalu, sehari selepas tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, pihak polis berada di kediamannya selama 18 jam dan merampas barangan milik beliau dan anaknya yang tiada kaitan dengan 1MDB.

Dalam laporan itu juga, Najib turut menyatakan serbuan polis ke tiga premis di Pavillion Tower dan merampas barangan kemas, tunai dan barangan peribadi yang didakwanya diberikan oleh rakan-rakan beliau.

Beliau menyatakan tunai tersebut sebenarnya merupakan derma untuk tujuan kempen PRU-14 Barisan Nasional dan menjelaskan peranannya hanya sebagai penasihat di dalam 1MDB dan tidak terlibat dalam proses membuat keputusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN