BANGKOK 19 Mei – Sehari sebelum kejohanan badminton Piala Thomas membuka tirai esok, Thailand, Denmark, China dan Jepun membuat sidang akhbar untuk memberitahu persiapan mereka dalam kejohanan kali ini.
Nama Malaysia jarang kedengaran sepanjang sesi soal jawab hampir sejam itu berlangsung ketika jurulatih setiap negara ditanya tentang pencabar yang dijangka membawa pulang trofi.
Hanya Ketua Jurulatih China, Xia Xuanze di hujung perbualan berkata, Malaysia mampu memberi tentangan, manakala jurulatih lain memilih China, Denmark, Indonesia serta Jepun sebagai calon juara.
“Selepas dua kejohanan berturut-turut kami gagal muncul juara dan cabaran kali ini lebih sukar.
“Memang kami ada juara Olimpik, Chen Long dan Lin Dan tetapi dalam dua kejohanan terakhir pun kami ada kedua-dua pemain ini dan masih gagal membawa pulang gelaran.
“Saya fikir Indonesia, Denmark serta Jepun akan menjadi pencabar utama kami, oh ya… jangan lupa Malaysia juga,” katanya dalam sidang akhbar di Arena Impact di sini, hari ini.
Xuanze, juara dunia 2003 bagaimanapun dilihat hanya cuba menjaga hati wartawan Malaysia yang mengajukan soalan tersebut kepadanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Jepun, Park Joo-bong percaya pasukannya mampu memberikan tentangan, terutama dengan kepulangan semula Kento Momota daripada penggantungan.
“Dia (Momota) sangat bersemangat untuk membuktikan keupayaan selepas digantung (terlibat dalam perjudian haram) yang menyebabkan dia terlepas Sukan Olimpik 2016.
“Sudah tentu kepulangannya meningkatkan keyakinan kami untuk mengulang sejarah 2014 (muncul juara buat kali pertama) tetapi China dan Denmark tetap pilihan utama, selain Indonesia,” kata legenda badminton Korea Selatan itu.
Bagi Ketua Jurulatih Thailand, Rexy Mainaky, dia melihat Piala Thomas kali ini mungkin kembali ke tangan negara tradisi seperti China dan Indonesia, tetapi Denmark juga memiliki pasukan yang kuat.
“China, Indonesia dan Denmark nampak kuat, Korea dan Malaysia pula menghantar pasukan muda. Jepun juga ada peluang yang bagus,” kata legenda badminton Indonesia itu.
Bagi Ketua Jurulatih Denmark, Kenneth Jonassen kekuatan pasukannya kali ini hampir sama dengan pasukan dua tahun lalu ketika mereka melakar sejarah muncul juara buat kali pertama.
Walaupun beraksi tanpa beregu utama, Carsten Mogensen kerana masalah kecergasan, manakala Jan O Jorgensen baru kembali daripada kecederaan panjang, namun itu tidak akan menjejaskan peluang mereka.
“Kami tetap berada dalam kedudukan yang sangat baik dan selesa tetapi sudah tentu China, Indonesia dan Jepun akan menjadi pencabar utama,” katanya. – UTUSAN











