Kita mesti yakin – Goh V Shem - Utusan Malaysia

Kita mesti yakin – Goh V Shem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK 19 Mei – Malaysia mungkin agak ketinggalan berbanding pencabar utama lain dalam kejohanan Piala Thomas kali ini, namun tidak bermakna pasukan negara adalah lawan yang lemah, tegas pemain beregu Goh V Shem.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu percaya, pengalamannya bersama Tan Wee Kiong, selain kehadiran Datuk Lee Chong Wei meletakkan Malaysia sebagai lawan yang perlu diberi perhatian.

“Kita kena yakin, walaupun Malaysia dianggap underdog.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang pasukan utama lain memiliki beregu yang kuat, malah ada yang membariskan tiga pasangan yang mantap, tetapi kami tidak boleh berputus asa kerana kejohanan belum bermula.

“Sejak membuat penampilan pertama bersama Wee Kiong pada 2014 (New Delhi) kami  lebih berpengalaman, dan yang penting kami melakukan persiapan terbaik,” kata V Shem ketika ditemui selepas sesi latihan di Arena Impact di sini hari ini.

Selain V Shem-Wee Kiong, hanya Chong Wei nama besar yang dibawa Malaysia ke Bangkok.

Anggota selebihnya dalam pasukan negara adalah pemain tidak berpengalaman iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao serta beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk membuat penampilan pertama.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Mohd. Arif Abdul Latif dan Teo Ee Yi pula melengkapkan pasukan ‘rapuh’ Malaysia.

Tegas V Shem, dia dan Wee Kiong juga sudah melupakan episod malang Sukan Komanwel di Gold Coast, April lalu, malah percaya seluruh pasukan kini hanya memberi tum­puan kepada Piala Thomas.

Malaysia gagal mempertahankan emas berpasukan campuran yang dimenangi sejak 2006, manakala beregu lelaki gagal mengekalkan dominasi 28 tahun selepas V Shem-Wee Kiong tewas dalam separuh akhir.

“Kami sudah lupakan Sukan Komanwel, ia perkara yang sudah berlalu dan fokus sekarang adalah Piala Thomas.

“Bagaimanapun, amat penting untuk Lee Chong Wei mengutip mata pertama buat Malaysia di sini kerana kita tahu apa yang akan berlaku kalau dia gagal memenangi perlawanannya,” kata V Shem.

Pasukan negara akan memulakan kempen dalam Kumpulan D dengan menentang Rusia, Isnin ini. Turut berada dalam kumpulan yang sama ialah juara bertahan, Denmark dan Algeria. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN