LONDON 19 Mei – Majlis perkahwinan Putera Harry dengan aktres Amerika Syarikat, Meghan Markle berlangsung dalam suasana meriah dengan dihadiri kaum kerabat diraja Britain dan rakan-rakan Markle yang terdiri daripada selebriti terkenal Hollywood, hari ini.
Sebaik sahaja selesai majlis tersebut, kedua-dua pasangan diraja itu akan menggunakan gelaran Duke dan Duchess of Sussex, gelaran yang dianugerahkan oleh Ratu Elizabeth beberapa jam sebelum majlis perkahwinan itu berlangsung.
Meghan, 36, selepas perkahwinan akan bergelar Duchess of Sussex manakala Harry pula akan menggunakan gelaran Duke of Sussex.
Berita berkaitan:
Malah Harry adalah kerabat diraja kedua memakai gelaran itu selepas Putera Augustus Frederick pada 1801.
Harry, 33, juga akan memakai gelaran Earl of Dumbarton dan Baron Kilkeel.
Perkahwinan diraja itu berlangsung pada pukul 12.40 tengah hari (kira-kira 7.30 malam waktu Malaysia) di gereja St. George di istana Windsor dengan dihadiri kira-kira 600 tetamu.
Bapa Harry, Putera Charles mengiringi Markle untuk diserahkan kepada Harry berikutan bapa Meghan, Thomas Markle tidak dapat menghadiri majlis itu kerana mengalami masalah kesihatan.
Lebih 100,000 peminat pasangan diraja itu dari seluruh dunia tiba di Windsor sejak semalam malah beratus-ratus lagi sanggup tidur dalam khemah di kawasan berkenaan untuk mendapatkan sudut yang terbaik bagi menyaksikan majlis perkahwinan tersebut.
Sebelum majlis tersebut berlangsung, Harry memberitahu orang ramai yang memenuhi kawasan di Windsor bahawa beliau merasa ‘tenang’ manakala Meghan pula merasa ‘seronok’.
Selain ibu Meghan, Dorian Ragland, tetamu pengantin perempuan yang hadir termasuklah rakan baiknya yang juga pemain tenis, Serena Williams, Oprah Winfrey, pasangan selebriti Victoria dan David Beckham, George dan Amal Clooney serta penyanyi, Chris Blunt.
Ahli politik dan Perdana Menteri Theresa May tidak dijemput menghadiri majlis itu kerana bukan majlis kerajaan tetapi bekas Perdana Menteri, John Major adalah antara tetamu kehormat.
Selain itu seramai 1,200 individu yang telah menyumbang dalam kerja-kerja kebajikan turut dijemput menghadiri majlis berkenaan. – Agensi











