UMNO dan Barisan Nasional (BN ) perlu ada DNA baharu untuk memastikan kelangsungan parti tersebut selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU -14) baru-baru ini.
![]() |
|
|
Itu pandangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO , KHAIRY JAMALUDDIN ketika ditemui wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI di Bangunan UMNO , Kuala Lumpur, Isnin lalu.
Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, UMNO dan BN perlu mengkaji dan memperhalusi sebarang kemungkinan termasuk bergerak sebagai sebuah parti politik berbilang kaum untuk kekal relevan.
Beliau berkata, UMNO tidak boleh lagi kekal dengan cara lama, sebaliknya sistem dan budaya yang diamalkan oleh parti itu selama ini perlu diubah selari dengan status UMNO sebagai parti pembangkang.
MINGGUAN: UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk dalam PRU-14 baru-baru ini. Bagaimana Yang Berhormat (YB) melihat kekalahan itu?
KHAIRY: Ini merupakan kekalahan menyeluruh yang menandakan penolakan rakyat kepada UMNO dan BN. Hanya dengan menerima tanggungjawab bersama dapat kita buat perubahan drastik.
Kalau kita masih menganggap ini penolakan terhadap pemimpin sahaja, kita sudah tukar pemimpin, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah undur, maka selesailah masalah kita maka kita masih lagi menafikan realiti.
Realitinya penolakan terhadap UMNO dan BN. Memang rakyat memahami jasa UMNO dan BN tetapi kita kena terima penolakan tersebut. Kita sudah ambil langkah pertama, Najib telah undur. Selepas ini kita kena buat perubahan yang total dan drastik kepada UMNO.
Saya ambil contoh yang mudah. Pada 2008, kita hilang majoriti dua pertiga. Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) diturunkan dan Najib naik (jadi Perdana Menteri). Kita anggap bahawa selesailah sudah dan kita akan kembali kuat. Pada 2013, kedudukan kita merosot. Pada 2018, kampung tergadai.
Sebab kita sudah anggap apabila Pak Lah sudah tidak ada dan Najib naik, semua akan jadi hebat semula. Kita buat beberapa perubahan. Perlembagaan dan pemilihan UMNO diubah menjadi lebih demokratik dan sebagainya. Tetapi budaya UMNO masih lagi tak berubah.
Budaya feudal, budaya mewah, budaya angkuh, budaya sombong, budaya yang tidak berani bersuara kepada pemimpin sehingga kami semua membuat kesilapan yang besar. Wala’ (kesetiaan kepada pemimpin) itu wala’-lah tetapi dalam keadaan kami semua tidak dapat membaca sentimen sebenar rakyat. Itu kita kena mengaku.
Apakah yang perlu dilakukan bagi memulihkan semula UMNO?
KHAIRY: Kalau kita hendak pulihkan balik UMNO, kita kena terima tanggungjawab bersama. Kita kena akui ini bukan hanya soal Najib tetapi penolakan terhadap budaya dan sistem dalam UMNO itu sendiri.
Kita kena buang segala budaya yang saya sebutkan tadi dan muncul sebagai sebuah parti yang baharu serta lebih terbuka, progresif, mudah untuk menjadi ahli dan menerima pemimpin baharu, satu parti yang tidak bongkak serta tidak angkuh.
Satu kekuatan kita iaitu parti yang berkhidmat, kita kekalkan. Sebab kita memang parti berkhidmat. Tetapi kita kena jadi lebih daripada itu. Parti yang berintegri dan tidak hanya memikirkan soal kemewahan.
Kita kena ubah. Cara kita buat perhimpunan agung pun kena ubah. Buat masa ini kita sudah susah, buat apa kita buat perhimpunan agung yang gah sampai empat hingga lima hari. Parti lain buat sehari sahaja tetapi boleh menang kerajaan.
Semua itu perlu diubah. Kita kena ada DNA baharu dalam UMNO. DNA UMNO dalam pembangkang. DNA UMNO yang kembali kepada rakyat. DNA UMNO yang boleh diterima rakyat dan bukannya DNA pemerintah. Kalau masih dengan DNA pemerintah, tidak ada siapa boleh selamatkan UMNO.
Berdasarkan perkembangan semasa, seolah-olah ada pihak ingin UMNO terkubur terus.
KHAIRY: Itu mungkin harapan sesetengah orang. Saya difahamkan ada usaha untuk cuba mengharamkan UMNO yang kita harap tidak diteruskan atas nama demokrasi. Atas nama demokrasi, sebahagian besar rakyat ingin melihat sebuah parti atau pembangkang yang berwibawa.
Tanya sahaja pengundi, mereka kata jangan haramkan UMNO dan jangan terima UMNO dalam Pakatan Harapan (PH). Biar UMNO dibina semula buat masa ini sebagai pembangkang yang ada kredibiliti.
Sebab rakyat kata sekarang ini kita sudah ada sistem dua parti. Kita hendak ada kerajaan dan pembangkang. Pembangkang itu kena kuat sebab hendak kerajaan ada akauntabiliti. Kita kena mainkan peranan kita sebagai pembangkang berwibawa.
Tidak ada apa-apa usaha untuk mengharamkan kita. UMNO dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkredibiliti. Daripada situlah kita serah balik kepada rakyat untuk nilai dalam lima tahun.
Rakyat sudah beritahu PH, walaupun mereka sangat sokong PH hari ini tetapi jika PH tidak dapat melaksanakan janji-janji, mereka pun akan dikeluarkan oleh rakyat. Sebab rakyat telah menunjuk bahawa budaya politik di Malaysia sekarang ini, ‘kita akan memilih siapa yang kita mahu setiap lima tahun.’
Kalau itulah keadaan politik hari ini, UMNO masih ada peluang untuk kembali tetapi dengan syarat kita sudah buat perubahan yang saya sebutkan tadi. Kalau tidak rakyat akan kata, kamu memang pembangkang dan boleh tanya soalan di Parlimen tetapi perangai kamu masih sama.
Selepas kekalahan ini, mungkin ramai pemimpin dan ahli UMNO akan keluar daripada parti dan menyertai parti dalam kerajaan. Bagaimana YB melihat keadaan itu?
KHAIRY: Yang mana hendak keluar sekarang, biarlah mereka keluar. Lebih baik kita ada proses pembersihan sekarang. Yang rasa tidak ada daya tahan untuk bersama UMNO dan BN, tidak ada pegangan politik dan prinsip, mereka boleh pergi. Sebab kita hanya dapat membina parti ini atas semangat yang tulen dan ikhlas, bukan penumpang.
Dalam tempoh seminggu dua ini, mana yang sudah melompat dan akan melompat, kita tidak perlukan mereka dalam parti. Kita harap dapat kekalkan mereka semua dan sedaya upaya cuba kekalkan tetapi apa kita hendak buat kalau mereka sudah buat keputusan begitu? Kita dapat nilai maruah mereka sebagai orang politik.
Parti politik berasaskan kaum mungkin sudah tidak ‘laku’ di Malaysia. Mungkin sudah tiba masanya BN menjadi sebuah parti berbilang kaum?
KHAIRY: Sebagai salah seorang pemimpin dalam UMNO, saya tidak tolak soalan itu. Ada yang menolak soalan itu. Ada yang kata UMNO kena kekal sebagai parti Melayu. Tetapi kita kena tanya soalan itu.
Mungkin akar umbi UMNO sekarang masih kekal dengan formula lama. Tetapi bagi saya, kita kena memikirkan segala kemungkinan. Apakah hari ini kita perlu tubuhkan hanya satu parti iaitu BN atau masih dengan sistem lama MCA, MIC, UMNO dan sebagainya. Itu tidak boleh kita jawab hari ini tetapi mesti kita tanya soalan tersebut.
Jangan bila kita tanya soalan tersebut, selepas itu orang kata, jangan memandai-mandai, ini parti Melayu dan orang muda ini liberal sangat hendak cakap. Saya fikir ini adalah masanya kita tanya setiap soalan. Sayap kanan dalam UMNO jangan sensitif sangat.
Kita kena kaji dan memperhalusi segala kemungkinan untuk menjadikan apa sahaja entiti baharu ini sebagai satu entiti yang boleh diterima rakyat Malaysia.
Apakah parti-parti komponen terutama MCA, MIC dan Parti Gerakan hendak bersama dalam BN selepas kekalahan ini?
KHAIRY: Mereka pun dalam keadaan yang sangat tenat. Kalau UMNO tenat, mungkin mereka ini nazak. Sebab Gerakan di Semenanjung kosong, MCA tinggal satu kawasan Parlimen dan MIC tinggal dua kawasan Parlimen.
Jadi mereka pun kena tanya soalan berkenaan dengan kewujudan mereka. Kita semua kena tanya soalan tentang kewujudan kita sebagai entiti, sama ada masih boleh wujud atau kita kena gulung tikar dan dilahirkan semula sebagai entiti yang baharu.
Jangan kata kita tidak boleh bincang perkara ini. Walaupun pada masa yang sama mesyuarat cawangan, bahagian dan pemilihan majlis tertinggi berlangsung, itu tidak apa. Itu hendak memenuhi syarat perlembagaan kita tetapi soalan yang lebih besar ialah apakah bentuk entiti yang akan bawa kita untuk lima tahun akan datang.
Rakyat dan ahli UMNO ingin melihat tempoh pemulihan UMNO dilakukan secepat mungkin. Pada pandangan YB, berapa lamakah tempoh yang akan diambil?
KHAIRY: Ia tidak boleh mengambil masa terlalu lama. Sekurang-kurangnya dalam masa terdekat kita kena menjadi pembangkang berwibawa. Tetapi jalan ke arah pemulihan ini bukanlah jalan singkat.
Ia ada beberapa fasa. Yang pertama memastikan wakil-wakil rakyat kita kekal. Yang kedua, mempertahankan UMNO daripada usaha untuk mengharamkan kita. Ketiga, apabila Parlimen bersidang nanti, kita dapat menjadi pembangkang yang berwibawa. Keempat, apakah rupa bentuk baharu dalam UMNO dan BN? Ia kena ada beberapa fasa.
Saya tidak pasti ia akan mengambil masa berapa lama, sama ada enam bulan atau setahun. Tetapi yang penting kita kena bermula sekarang supaya dalam tempoh lima tahun apabila sampai ke penghujung Parlimen kali ini, kita sudah boleh menawarkan satu pilihan yang jelas kepada pengundi.
YB ada menyebut tentang perubahan sistem yang perlu dilakukan dalam UMNO. Tetapi, bagaimana caranya?
KHAIRY: Itu yang kita harap tetapi bukan mudah untuk kita mengajar satu entiti yang begitu lama untuk buat benda yang baharu. Jadi, kita kena cari bagaimana untuk buat perubahan besar. Kejutan kekalahan itu satu. Satu lagi, apabila mereka rasa tekanan harian seperti tidak ada jentera kerajaan, tidak boleh bermesyuarat di balai raya, tidak ada peruntukan dan sebagainya.
Kejutan ini akan ada dua kemungkinan. Satu, semua putus asa dan habislah. Satu lagi, betul-betul akan ada kesedaran untuk berubah dan mereka betul-betul memahaminya. Saya harap kita akan ada semangat untuk melakukan pilihan yang kedua.
Ada pihak dalam UMNO menyalahkan kegagalan Pemuda menarik sokongan orang muda menjadi punca penolakan daripada pengundi muda. Apa pandangan YB dalam hal ini?
KHAIRY: Tanya pengundi muda, mereka undi PH pasal apa? Kalau berani buat bancian. Pasal Najib atau KJ (Khairy)? Saya mahu tahu. Bagaimana dengan polis dan askar? Penolakan total. Bagaimana dengan Felda dan saluran satu pun ada yang kalah. Pengundi tidak pandang Pemuda sahaja tetapi mereka pandang semua. Itu yang saya maksudkan dengan sistem. Sistem dari segi pemilihan, budaya, kepemimpinan dan pembiayaan. Semua mesti berubah.
1MDB – akui kelemahan, terima realiti
Ada mengatakan punca kekalahan BN kerana kalah perang persepsi di media sosial.
KHAIRY: Jangan lagi kita cakap persepsi. Ini realiti. Mesti ada realiti dahulu. Persepsi itu dibentuk oleh realiti. Realiti sudah ada. Cuma kita bodoh kerana menafikan selama ini.
Kita menafikan soal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan macam-macam skandal. Kita kata tidak ada, sudah dijawab. Kita menipu diri sendiri sampai hari terakhir.
Walaupun sudah kalah, UMNO masih mengekalkan kepemimpinan sedia ada yang sebahagian besarnya sudah berusia. Apakah YB melihat sudah tiba masanya UMNO perlu diterajui orang muda?
KHAIRY: Itu Majlis Tertinggi yang sedia ada. Kita tak boleh harap dalam pemilihan kali ini, kita akan tukar semua dalam sehari sahaja. Saya rasa masih ada orang lama yang diterima pengundi. Saya baca juga komen, pemimpin macam ini masih lagi bagus.
Saya tengok nama-nama pemimpin ini, mereka bukanlah pemimpin muda tetapi orang lama.
Ia bukan soal umur. Mungkin kita perlu kepada lebih ramai muka baharu dan muda, saya setuju tetapi jangan sampai kita ada perubahan total. Saya sebagai Pemuda pun, saya tidak mampu.
Ada orang kata orang muda perlu ambil kepemimpinan parti, saya kata bolehkah kita buat? Saya beritahu kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, saya sokong kepemimpinan mereka pada masa ini untuk kita menstabilkan parti.
Tetapi dalam masa yang sama, kita serah kepada parti untuk buat pilihan siapa yang akan menerajui parti kita dalam pemilihan akan datang. Kalau mereka pilih orang yang ada atau orang baharu, biarlah parti yang menentukan.
Ramai yang ingin melihat YB sendiri bertanding dalam pemilihan UMNO nanti dan biarlah jawatan Ketua Pemuda dipegang oleh orang yang berusia di bawah 30 tahun.
KHAIRY: Memang saya sudah tidak ada dengan Pemuda selepas ini dalam pemilihan. Saya tidak mahu bincang secara mendalam tentang pemilihan. Walaupun pemilihan beberapa minggu lagi tetapi perkembangan sekarang ini sangat getir dan memerlukan satu penyatuan kerana usaha untuk mengharamkan UMNO dan sebagainya yang akan berlaku dalam masa terdekat.
Sebab itu kita beri mandat kepada Ahmad Zahid untuk buat apa sahaja untuk memastikan UMNO ini kekal dan selamat. Itu penting. Soal pemilihan kita boleh bercakap kemudian.
Bagaimana dengan susunan struktur UMNO dan BN selepas ini kerana bantuan kewangan mungkin sudah tidak ada atau berkurangan?
KHAIRY: Kita sudah bincang dalam Majlis Tertinggi. Kita akan usahakan supaya dapat menyalurkan apa yang mampu kepada wakil rakyat dan sebagainya. Apa yang penting, kita kena ubah budaya.
Walaupun kita akan menyalurkan apa yang kita mampu tetapi janganlah setiap kali kita kena fikir soal duit. Mesyuarat cawangan dan bahagian hendak adakan, kena duit. Buatlah secara berhemah, dan berpada-pada.
Mungkin kita kena pergi kepada model yang digunakan oleh parti-parti politik lain. Ahli beri duit, kita buat crowdfunding (pembiayaan awam) dan penderma buat secara telus atas talian.
Orang pun boleh nampak berapa yang kita dapat untuk menguruskan program-program parti kita dan kita ada akaun yang dapat dibentangkan atas talian. Baru orang yakin dengan kita.












