Puasa jadikan badan lebih sihat - Utusan Malaysia

Puasa jadikan badan lebih sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini merupakan hari keempat umat Islam di negara ini menjalani ibadah puasa sebagai memenuhi tuntuntutan rukun Islam ketiga. Terdapat banyak hikmah yang boleh diperoleh daripada ibadat puasa kerana ia bukan hanya sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga.

Selain daripada melatih rohani supaya menjadi lebih bersih, berpuasa juga terbukti mendatangkan lebih banyak faedah daripada sudut kesihatan.

Bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai kebaikan ber­puasa pada tubuh badan serta corak pemakanan yang perlu dipraktikkan ketika berpuasa di bulan Ramadan, wartawan Kosmo! Ahad ROSLI HASSAN menemu bual Dietitian Hospital Pakar KPJ Damansara, Farah Farhanah Hashim di Damasara Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kosmo! Ahad: Berpuasa dikatakan dapat menyihatkan tubuh badan. Boleh Farhanah jelaskan bagaimana berpuasa boleh menjadikan badan seseorang itu lebih sihat?

FARHANAH: Puasa memberi kesempatan bagi sistem gastrointestinal atau pencernaan untuk ‘rukhsah’ atau berehat seketika waktu siang hari. Dalam tempoh berpuasa selama kira-kira 14 jam, tiada tambahan makanan dan minuman baharu yang diterima oleh sistem pencernaan.

Dalam keadaan tidak berpuasa, sistem pencernaan seseorang akan bekerja terus tanpa henti untuk memproses makanan yang dimakan. Lebih banyak makanan atau minuman yang diambil, maka lebih lama masa dan lebih tenaga diperlukan supaya pencernaan itu sempurna.

Puasa juga memberi peluang kepada kita untuk menjaga dan mengamalkan pemakanan yang sihat. Ini bermula dengan pengambilan makanan dihadkan semasa siang hari selama sebulan puasa Ramadan. Kita juga dinasihatkan supaya mengambil makanan seimbang dan meminum air dengan secukupnya iaitu sekurang-kurangnya lapan gelas sehari pada luar waktu berpuasa.

Jika kita berjaya mengamalkan prinsip ini sepanjang bulan puasa, sudah hampir pasti berat badan akan berkurangan, tahap kolesterol bertambah baik, paras glukos dalam darah juga stabil dan fungsi ginjal akan menjadi lebih baik. Kajian juga mendapati puasa boleh membantu mengawal tekanan atau stres dengan memberi ketenangan psikologi dan bersabar.

Apakah perubahan fisiologi yang berlaku pada badan seseorang yang sedang berpuasa?

Pada bulan bukan berpuasa, secara fisiologinya, jumlah insulin yang dihasilkan oleh badan bergantung pada jumlah makanan yang diambil bagi memastikan paras gula dalam keadaan normal.

Pada bulan puasa, jumlah makanan yang diambil lebih sedikit, maka penghasilan insulin untuk mengawal paras gula dalam badan juga akan berkurangan menjadikan insulin menjadi lebih sensitif dan efisien untuk mengawal paras gula.

Namun, selepas beberapa jam yang seterusnya di mana jumlah karbohidrat (glukosa) yang dipero­leh daripada makanan telah habis digunakan sebagai tenaga, simpanan glukosa badan akan diperolehi daripada bahagian hati atau bahagian otot yang lain dalam bentuk lemak. Penggunaan sumber tenaga ini adalah penting kerana sepanjang tempoh berpuasa, kita tidak mengambil sebarang makanan atau minuman kecuali apa yang tersedia sewaktu sahur atau malam sebelumnya.

Selain itu, terdapat pengeluaran dua hormon lain iaitu Human Growth Hormone (HGH). Hormon tersebut akan meningkat ketika berpuasa sehingga lima kali ganda dan berfungsi membantu mempercepatkan proses pengurangan lemak serta membina otot.

Selain daripada menurunkan insulin dan meningkatkan HGH, hormon norepinephrine pula berperanan memberikan isyarat kepada sel lemak untuk dipecahkan kepada free fatty acid bagi melakukan proses pembakaran lemak dan membolehkan tenaga mencukupi disalurkan pada badan.

Berpuasa juga dikatakan dapat membantu membuang toksin di dalam badan, boleh Farhanah jelaskan lebih lanjut mengenai perkara ini?

Detoksifikasi atau penyahtoksidan adalah satu proses di mana pelbagai jenis bahan beracun atau bahan toksik dikeluarkan dari tubuh manusia bagi tujuan pembersihan. Punca utama bahan-bahan toksik ini memasuki badan adalah melalui mulut dengan memakan makanan sama ada yang telah tercemar atau pun yang mengan­dungi bahan-bahan tambahan lain yang tidak sesuai untuk badan seseorang di samping faktor pencemaran persekitaran. Tubuh manusia sebenarnya mempunyai mekanisme semula jadi tersendiri dalam membersihkan organ dalaman badan daripada bahan beracun. Sebagai contohnya, hati adalah organ terbesar yang berfungsi untuk mengkumuh segala sisa yang ada untuk dibuang selain ginjal, pundi kencing dan sistem darah.

Puasa mampu meningkatkan lagi keupayaan tubuh bagi tujuan penyahtoksidan dan pembersihan. Seseorang yang berpuasa telah memberi ruang masa yang mencukupi kepada organ pencernaan seperti perut, usus, pankreas dan hati untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di samping memperbaiki lagi keadaan diri mereka yang telah rosak yang selama ini tidak dapat dipenuhi akibat dari pertambahan beban makanan.

Ketika berpuasa juga, aktiviti pembersihan badan menjadi lebih menyeluruh dan segala toksin dapat dikeluarkan dari kolon, buah pinggang dan pundi kencing serta paru-paru dan kulit. Keadaan ini akhirnya mela­pangkan kesan sumbatan yang berlaku pada dinding dan saluran sistem pemakanan dan pernafasan lalu memberi cukup bekalan oksigen kepada sel-sel dalam badan dan menjadikannya lebih bertenaga. Pembersihan sisa toksin dalam kolon umpamanya amat penting bagi kesihatan sistem penghadaman dan pencegahan barah usus.

Farhanah ada mengatakan sebelum ini berpuasa juga dapat mengurangkan berat badan seseorang. Boleh terangkan bagaimana ber­puasa boleh menjadikan seseorang lebih kurus?

Puasa sering kali digunakan sebagai kesempatan untuk seseorang yang berazam untuk me­nurunkan berat badan. Ini boleh dicapai dengan tidak memakan secara berlebihan ketika berbuka puasa setelah mengawal diri selama kira-kira 12 jam daripada makan dan minum.

Selepas tempoh puasa yang lama, setelah usus menyerap sepenuhnya zat-zat makanan dari sajian makan terakhir, simpanan tenaga dalam badan akan digunakan. Simpanan glukosa dalam hati dan otot digunakan dahulu ke­rana glukosa merupakan sumber tenaga utama badan. Apabila simpanan glukosa habis, lemak menjadi sumber tenaga seterusnya.

Dengan masa dan pengulangan, simpanan lemak ini akan digunakan dengan kerap dan lama-kelamaan berkurang. Beginilah cara puasa membantu mengurangkan berat badan.

Antara kelebihan berpuasa ialah dapat mengurangkan risiko seseorang menghidap penyakit tertentu. Boleh Farhanah jelaskan dengan lebih lanjut?

Puasa sebenarnya dapat menghindarkan beberapa penyakit dan mengurangkan risiko menghidapi pe­nyakit tidak berjangkit antaranya ialah diabetes, hipertensi, penya­kit jantung dan lain-lain penyakit yang berkaitan dengan makanan termasuk obesiti.

Malah, dengan berpuasa terdapat kemungkinan keadaan pesakit (kencing manis) akan bertambah baik sedikit, malah hasil kajian dan penyelidikan yang dijalankan menunjukkan bahawa puasa membantu menurunkan tahap tekanan darah sekali gus dapat mengurangkan risiko seseorang itu menghidap hipertensi atau penyakit darah tinggi.

Bagaimanapun, pesakit diabetes yang bergantung pada ubat dan juga kawalan diet perlu berhati-hati jika mereka mahu berpuasa. Pesakit hendaklah mendapatkan nasihat perubatan daripada doktor mereka terlebih dahulu, khususnya mengenai pertukaran dos ubat.

Pesakit perlu mengetahui purata bacaan gula dalam darah (mean blood sugar) dan bacaan gula dalam darah ketika berpuasa (daripada malam sebelumnya sehingga pagi) untuk mengenal pasti corak bacaan gula dalam darah dan mengelakkan daripada berlakunya tanda-tanda dan gejala kurang gula dalam darah (hypoglycemia) atau tinggi gula dalam darah (hyperglycemia).

Bagi pesakit kencing manis tahap 1, dapatkan nasihat doktor mengenai jenis insulin yang digunakan dan nasihat dietitian untuk menentukan jumlah karbohidrat yang diperlukan ketika berpuasa kerana jumlah karbohidrat yang diperlukan bergantung kepada jumlah unit insulin yang diambil. Di samping itu, jika mereka me­ngalami tanda-tanda gejala paras gula dalam darah rendah, mereka patut menghentikan puasa dengan serta-merta dan perlulah mengambil gula ringkas sebanyak 15 gram dalam kadar segera seperti satu sudu madu atau jem atau separuh cawan air buah atau separuh cawan air bermalta.

Sekiranya ingin meneruskan puasa, lakukan Pemantauan Sendiri Gula Dalam Darah atau Self-Monitoring Blood Glucose (SMBG) sebanyak dua kali terutamanya sebelum sahur dan antara pukul 1 hingga 4 petang untuk mengelakkan berlakunya hypoglycemia ketika berpuasa.

Akhir sekali, apakah amalan pemakanan yang sihat yang perlu diikuti oleh seseorang yang berpuasa sepanjang Ramadan?

Pemakanan sihat ketika berpuasa tidak jauh beza dari pemakanan sihat di luar bulan puasa. Prinsip sama digunakan iaitu pemakanan sihat yang seimbang. Pemakanan ketika bulan puasa sama seperti hari-hari biasa dan yang membezakannya hanyalah waktu makan. Ikuti piramid makanan merangkumi semua kumpulan makanan yang mengandungi 30 nutrien yang lengkap termasuklah karbohidrat, protein, lemak, serat, air serta pelbagai jenis vitamin dan mineral.

Salah satu cara menghadapi puasa adalah dengan mengambil lebih banyak karbohidrat kompleks terutamanya ketika bersahur. Karbohidrat kompleks melepaskan tenaga pada kadar yang lebih rendah dan membantu untuk bertahan lapar lebih lama sepanjang hari. Kadar pelepasan tenaga yang rendah memastikan kadar glukosa dalam badan terkawal dan ia sangat berfaedah bagi pesakit kencing manis. Makanan yang mengandungi banyak karbohidrat kompleks digalakkan diambil ketika waktu sahur seperti nasi, mi, oat dan bijirin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN