BANGKOK 18 Mei – Legenda badminton Indonesia, Rexy Mainaky memilih Denmark, Jepun, China dan Indonesia sebagai calon untuk menjulang Piala Thomas 2018 tetapi tidak melihat Malaysia berada dalam liga yang sama.
![]() |
|
REXY MAINAKY
|
Rexy, juara Olimpik 1996 dan juara dunia 1995, percaya keputusan Malaysia membariskan ramai pemain muda dalam skuad kali ini bermakna secara realistiknya mereka hanya boleh melakukan sesuatu dalam tempoh dua tahun akan datang.
Walau bagaimanapun, tegasnya, jika pasukan negara berjaya membina keseimbangan antara pemain lama dan baharu, tidak mustahil mereka mampu menjadi ‘kuda hitam’ di Bangkok.
“Bukan Malaysia tidak ada peluang tetapi mereka menampilkan ramai pemain muda, jadi kita tidak boleh meletakkan jangkaan tinggi untuk pemain ini.
“Dahulu pada 2014 (di New Delhi), Indonesia juga menampilkan ramai pemain muda seperti Jonatan Christie, Anthony Ginting dan Ihsan Maulana (Mustofa), namun mereka belum dapat memberi impak ketika itu.
“Hanya pada 2016 (di Kunshan, China) pemain-pemain ini berjaya membawa Indonesia ke perlawanan akhir (tewas 2-3 kepada Denmark), jadi saya melihat situasi yang sama dalam skuad Malaysia.
“Dengan membariskan ramai pemain muda dalam beregu serta perseorangan, Malaysia mungkin hanya boleh melakukan sesuatu dua tahun akan datang.
“Jika (Datuk) Lee Chong Wei sebagai ketua mampu memimpin pemain seperti Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao, manakala Iskandar (Zulkarnain Zainuddin) serta beregu Goh V Shem-Tan Wee Kiong menampilkan aksi konsisten maka Malaysia boleh menjadi ‘kuda hitam’,” kata Rexy ketika ditemui semasa sesi latihan di Badminton Hippocampus, di sini hari ini.
Selain menyenaraikan Zii Jia (20 tahun) dan Jun Hao (18), Malaysia turut membuat keputusan berani dengan membawa pemain muda seperti Aaron Chia (21) serta Soh Woon Yik (20) untuk membuat penampilan sulung dalam persaingan beregu.
Turut menguatkan cabaran di Bangkok adalah Chong Wei, Iskandar, V Shem, Wee Kiong, Mohd. Arif Abdul Latif dan Teo Ee Yi.
Sementara itu, Rexy, 50, yang pernah membimbing Malaysia dari 2005 hingga 2012 berkata, Denmark masih menjadi calon utama untuk mempertahankan kejuaraan meskipun kehilangan khidmat pemain beregu No. 2 dunia, Carsten Mogensen.
Juara 2014, Jepun pula mampu menjadi ancaman dengan kembalinya Kento Momota daripada penggantungan, manakala Indonesia yang memiliki kekuataan seimbang dalam beregu serta perseorangan turut berpeluang besar untuk merangkul kejuaraan selepas 16 tahun menanti. – UTUSAN











