Aaliyah, Adam pecah rekod Asia, kebangsaan - Utusan Malaysia

Aaliyah, Adam pecah rekod Asia, kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Mei – Gandingan adik beradik, Aaliyah Yoong Hanifah, Aiden serta Adam berjaya mencipta rekod baharu Asia di bawah 17 tahun dan juga memecahkan rekod kebangsaan, selain mencipta rekod peribadi terbaik pada pertandingan Florida Inboards Record di Amerika Syarikat (AS), hujung minggu lalu.

Aaliyah, 14, pemenang tiga pingat emas Sukan SEA 2017 di ibu negara, menamatkan saingan di kedudukan kedua dalam acara lompatan kategori remaja di bawah 17 tahun dengan jarak 34.9 meter (m) pada pertandingan yang berlangsung selama dua hari itu.

Keputusan tersebut merupakan rekod baharu kebangsaan buat Aaliyah, setelah dia memecahkan rekod miliknya sendiri iaitu 32.8 meter yang diciptanya dalam Sukan SEA yang lalu. Dalam acara slalom pula, Aaliyah sekadar menamatkan persaingan di tempat kelima.

Ratu sukan luncur air negara itu bagaimanapun gagal menebus kekecewaannya dalam acara tricks apabila mengutip 6,960 mata bagi melengkap­kan persaingan di kedudukan kedua, di belakang pencabar dari AS, Kennedy Hansen yang mengumpul 7,910 mata.

“Dia telah mempamerkan prestasi yang baik dalam acara tricks dan satu-satunya kesilapan yang dilakukan Aaliyah ialah hilang keseimbangan sehingga gagal melepasi 7,600 mata,” kata ketua jurulatih Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF), Hanifah Yoong.

Sementara itu, adik Aaliyah, Adam, 10, yang juga merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA, memecah rekod kebangsaan buat kali kedua tahun ini dengan kutipan 4,750 mata keseluruhan untuk memenangi acara tricks bagi ketegori remaja lelaki di bawah umur 13 tahun.

Pungutan mata yang dica­tat Adam bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi dia turut mencipta rekod baharu Asia di bawah 17 tahun. Aiden, 12, pula gagal mencatat sebarang kemenangan, tetapi atlet muda negara itu menamatkan saingan dengan mencipta rekod baharu peribadi terbaik iaitu menerusi pungutan 4,030 mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×