KUALA LUMPUR 18 Mei – Buat pertama kali dalam lipatan sejarah Malaysia, golongan wanita diangkat sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Kedua-dua jawatan itu diisi oleh Rina Harun (PPBM) sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar manakala Zuraida Kamaruddin (PKR) memegang portfolio Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Malaysia sebelum ini telah mencatat sejarah terbesar negara apabila jawatan Timbalan Perdana Menteri diisi oleh Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga merupakan Presiden PKR.
Sejarah juga tercatat apabila menyaksikan seorang Menteri Besar memegang portfolio Pusat iaitu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR) yang dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Barisan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan turut mencipta kejutan apabila Gobind Singh Deo (DAP) menjadi menteri bukan Melayu pertama memegang portfolio Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Beberapa nama tersebut merupakan antara 13 ahli Parlimen Pakatan Harapan yang akan dilantik membarisi Kabinet dikepalai oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Daripada 13 nama menteri dan kementerian tersebut, empat daripadanya telah diumumkan sebelum ini iaitu Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga (Wan Azizah-PKR), Kementerian Kewangan (Lim Guan Eng-DAP), Kementerian Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin-PPBM) dan Kementerian Pertahanan (Mohamad Sabu-PAN).
Baki lima lagi nama menteri bersama kementerian yang turut diumumkan ialah Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (PPBM); Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (DAP); Menteri Tenaga Manusia, M. Kulasegaran (DAP); Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub (PAN) dan Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad (PAN).
Pelantikan Maszlee sebagai Menteri Pendidikan juga bermakna Dr. Mahathir digugurkan daripada jawatan tersebut ekoran kritikan pelbagai pihak kerana mengikut manifesto Pakatan Harapan, Perdana Menteri tidak boleh memegang portfolio lain.
Mengikut pecahan parti, PPBM memiliki tiga kementerian selain jawatan Perdana Menteri, PKR juga memperoleh tiga kementerian selain jawatan Timbalan Perdana Menteri, DAP memegang empat kementerian sementara PAN tiga.
Senarai nama menteri dan kementerian itu diumumkan Dr. Mahathir menerusi siaran akhbar yang dimuat naik dalam akaun Facebook beliau hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, Perdana Menteri telah diterima menghadap oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bagi menyerahkan senarai nama Ahli-ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Menteri.
Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan kepada nama-nama yang dicadangkan serta istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah rahsia sebagai menteri Persekutuan akan diadakan pada Isnin ini, pukul 11.30 pagi di Istana Negara.










