KUALA LUMPUR 17 Mei – Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) terus terpalit dan dicemari dengan isu doping apabila Persekutuan Angkat berat Antarabangsa (IWF) mengesahkan tiga lagi atlet angkat berat negara positif ujian doping.
Berdasarkan laporan yang disiarkan di laman web rasmi IWF, tiga atlet yang disiasat dan diuji positif bagi sampel A ialah Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhamad Zaidi Mohd. Nordin dan Ronny Jesos.
Ujian air kencing yang dijalankan terhadap mereka dilakukan secara rambang oleh IWF pada 28 Mac lalu dan disahkan positif dadah jenis Stanozolol.
Pemangku Setiausaha Persatuan Angkat Berat Malaysia, Abu Hanapah Ismail mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu ketiga-tiga atlet itu mencabar untuk dilakukan ujian sampel B.
“PABM dimaklumkan mereka didapati positif dadah pada 11 Mei lalu. Saya dimaklumkan mereka mahu mencabar sampel A dan ujian akan dijalankan di Cologne, Jerman.
“Keputusan itu akan diketahui dalam tempoh 10 hingga 14 hari daripada tarikh keputusan itu dimaklumkan kepada saya iaitu semalam dan ketika ini, semua atlet ini digantung sementara,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambahnya, lebih memeranjatkan adalah ketiga-tiga atlet tersebut berusia dalam lingkungan 18 hingga 21 tahun.
Persoalan yang timbul ialah dari mana mereka mendapatkan bahan terlarang tersebut dan Hanapiah menjelaskan, ketiga-tiga atlet itu akan dipanggil untuk pendengaran kes.
“Kita akan panggil mereka untuk sesi pendengaran dan saya berharap mereka akan menceritakan secara terperinci bagaimana dadah berkenaan boleh berada dalam badan mereka kerana sekarang ini ia memang mudah didapati dan boleh dibeli secara atas talian.
“Persatuan juga perlu tahu sama ada mereka mengambil bahan itu secara berterusan atau sebaliknya,” ujarnya.
Jika didapati bersalah, ketiga-tiga atlet berkenaan berdepan hukuman penggantungan maksimum empat tahun untuk kesalahan kali pertama, selari dengan garis panduan ditetapkan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).










