BAGAN DATUK – Tiga kanak-kanak berusia antara dua hingga empat tahun maut selepas ditetak seorang lelaki dipercayai kurang siuman yang mengamuk di Kampung Sungai Haji Muhammad di Rungkup di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, tiga beradik, Nur Ziah Fasihah Mohd. Fadzil, 2, Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, suspek yang berusia 37 tahun ditahan selepas mengamuk di Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhamad yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa.
Jelasnya, suspek yang merupakan rakan kepada bapa ketiga-tiga mangsa bertindak menceroboh rumah tersebut.
“Suspek dipercayai melibas parang ke arah ketiga-tiga mangsa dan menyebabkan mereka maut di lokasi kejadian.
“Selain itu, suspek turut menetak ibu mangsa, Zuraidah Md. Ali, 35, sehingga menyebabkan pergelangan tangan kirinya terkulai dan ibu jari kanannya putus,” katanya.










