KUALA LUMPUR 16 Mei – Polis menahan lima remaja lelaki berusia 11 hingga 15 tahun bagi membantu siasatan kes kebakaran 100 buah motosikal di bawah blok Pangsapuri Angsana USJ1, Subang Jaya dekat sini, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, sebahagian besar motosikal yang diletakkan di bawah blok E, D dan F hangus dalam kebakaran pada pukul 3 pagi itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana berasa tidak puas hati dengan penduduk di blok berkenan yang sering memarahi mereka.
“Kerana rasa dendam dan marahkan penduduk yang menegur mereka sering membuat bising di bawah blok, kesemua suspek bertindak menyalakan api dan membakar sebahagian besar motosikal yang diletakkan di blok tersebut.
“Semua suspek yang terlibat ditahan polis tidak lama selepas api dipadamkan dan mereka ditahan hasil maklumat penduduk yang menyaksikan kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Azlin memberitahu, kesemua suspek direman di Mahkamah Subang Jaya petang ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, pihak bomba berjaya memadamkan api dalam tempoh setengah jam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
“Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima panggilan kecemasan pada pukul 3 pagi membabitkan kebakaran sejumlah besar motosikal di Pangsapuri Angsana,” ujarnya.
Jelas Syed Shahril, kebakaran yang berlaku tidak melibatkan kerosakan struktur rumah pangsa tersebut dan kebakaran berjaya dipadam 10 minit kemudian.










