PM Singapura temu Tun M Sabtu - Utusan Malaysia

PM Singapura temu Tun M Sabtu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA 16 Mei – Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan di Parlimen hari ini beliau akan melawat Malaysia Sabtu ini untuk mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan baharunya Tun Dr Mahathir Mohamad.


Dr Mahathir, pemimpin Pakatan Harapan, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada 10 Mei selepas gabungan itu memenangi pilihan umum yang baru selesai, dengan itu menjadi perdana menteri pertama paling tua di dunia.

“Ekspektasi kerajaan baharu Malaysia begitu tinggi, dan saya fikir Dr Mahathir cukup sibuk dalam beberapa hari akan datang. Tetapi saya bercadang menemui beliau pada Sabtu, dan memberitahunya saya berharap dapat bekerjasama semula dengan beliau demi faedah bersama,” Lee disebut sebagai berkata demikian oleh Channel NewsAsia semasa perbahasan Ucapan Presiden.

Lee menambah beliau juga kenal biasa dengan ahli politik Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya juga cukup kenal Anwar Ibrahim kerana beliau merupakan rakan sejawatan saya semasa menjadi timbalan perdana menteri,” kata Lee.


Anwar, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dibebaskan hari ini selepas menjalani hukuman penjara selama tiga tahun setelah mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong. 

Menyentuh cabaran luar yang dihadapi Singapura dalam ucapannya di Parlimen, Lee berkata Singapura sentiasa mempunyai hubungan baik dengan “jiran terdekat” Malaysia di bawah kerajaan yang dipimpin oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta pentadbiran yang diketuai Dr Mahathir sebelum itu.

“Kami telah juga bekerjasama dengan Dr Mahathir dan dengan beberapa pasukan beliau dahulu. Kami menyiapkan projek bersama Malaysia bila Dr Mahathir menjadi perdana menteri dahulu, termasuk pembinaan Linkedua di Tuas,” kata beliau.
- BERNAMA

 

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×