SERAMAI 27 pemain dipilih oleh ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun kebangsaan (B-19), Bojan Hodak untuk menjalani kem latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya bermula Ahad ini.
“Selepas sembilan hari berlatih di Wisma FAM, seramai 23 pemain terbaik akan dipilih dan dibawa ke Bangkok, Thailand pada 29 Mei untuk latihan dan tiga perlawanan persahabatan di sana selama seminggu sebelum pulang ke tanah air pada 5 Jun.
“Selain 27 pemain berkenaan, lima pemain lain iaitu Hadi Fayyadh Abdul Razak dari pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Alif Safwan Sallahuddin, (Piala Presiden PKNP FC), Sharul Nazeem Zulpakar (Piala Presiden Selangor), Aliff Haikal Hakim Lau (Piala Presiden PKNS FC) dan Megat Syafique Syazwan Mohd Khairul (SSMP-AMD Panthers B-16) diminta bersedia untuk dipanggil Hodak jika terdapat mana-mana pemain daripada senarai 27 pemain itu mengalami kecederaan,” kata kenyataan itu.
Malaysia diletakkan dalam kumpulan B yang dianggap sebagai kumpulan selamat bersama-sama empat pasukan lain iaitu Myanmar, Brunei, Timor-Leste dan Kemboja.
Dua pasukan yang mengumpul mata tertinggi di setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati.










