KUALA LUMPUR 15 Mei – Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Bank Berhad (1MDB) telah dikelaskan semula sebagai dokumen terbuka dan ringkasan eksekutif mengenainya boleh didapati di portal Jabatan Audit Negara.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad berkata, ringkasan eksekutif itu boleh diperoleh menerusi portal Jabatan Audit Negara www.audit.gov.my.
“Saya merujuk kepada Laporan Pengauditan 1MDB yang dikelaskan sebagai rahsia pada 22 Januari 2016 dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Secara ringkasnya, sehingga 31 Oktober 2015, baki prinsipal pinjaman atau pembiayaan Kumpulan 1MDB berjumlah RM55 bilion berbanding aset berjumlah RM58.60 bilion.
Sejumlah RM20.31 bilion daripada pinjaman atau pembiayaan tersebut mendapat jaminan dan bantuan Kerajaan Persekutuan.
Menurut laporan itu lagi, dalam tempoh 2009 hingga 2015, beberapa keputusan pelaburan penting dengan nilai pelaburan yang tinggi dibuat melalui resolusi Lembaga Pengarah 1MDB tanpa perbincangan dan penilaian secara terperinci.
Laporan itu turut menyatakan beberapa pertimbangan berhubung pelaburan dibuat dalam tempoh yang singkat dan berisiko tinggi.
Walau bagaimanapun, Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB telah memaklumkan dalam Mesyuarat PAC pada 19 Januari 2016 bahawa perbincangan ada dibuat sebelum kelulusan diberi melalui resolusi.
Dalam beberapa keadaan, pengurusan 1MDB telah membentangkan maklumat yang tidak lengkap atau tidak tepat kepada Lembaga Pengarah 1MDB sebelum sesuatu keputusan penting dibuat malah telah mengambil tindakan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB.
Ringkasan laporan turut menyatakan terdapat juga keadaan di mana pengurusan 1MDB memberikan maklumat yang tidak tepat atau berbeza kepada pihak yang berkepentingan.
Pengurusan 1MDB mengambil tindakan yang bertentangan atau tanpa mengikut sepenuhnya keputusan Lembaga Pengarah atau pemegang saham dalam beberapa peristiwa berkaitan pelaburan.
Pengurusan penyelenggaraan fail dan rekod 1MDB adalah tidak sistematik dan kurang memuaskan.










