KUALA LUMPUR 15 Mei – Semua pesalah yang dijatuhkan hukuman atas pelbagai kesalahan boleh mendapatkan pengampunan sama ada daripada Yang di-Pertuan Agong, ataupun Sultan atau Yang di-Pertua Negeri bagi setiap negeri mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Pesalah perlu melalui prosedur pengampunan dengan membuat permohonan atau menghantar petisyen kepada Lembaga Pengampunan membolehkan lembaga itu bersidang.
Peguam Kanan Jenayah, Salim Bashir memberitahu, hanya Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang di-Pertua setiap negeri sahaja mempunyai kuasa mutlak untuk memberi pengampunan atas nasihat daripada Lembaga Pengampunan.
“Lembaga Pengampunan terdiri daripada Pengerusi yang merupakan Yang di-Pertuan Agong atau wakil bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Sultan dan Yang Dipertua Negeri atau wakil.
“Selain itu, Peguam Negara atau wakil, Menteri Wilayah Persekutuan atau wakil, Setiausaha Kerajaan (SUK) bagi negeri dan tiga orang dilantik yang lazimnya mempunyai latar belakang perundangan ataupun daripada Suruhanjaya Kehakiman dan Perundangan.
“Selepas menerima permohonan daripada pesalah atau keluarga, Lembaga Pengampunan akan bersidang terlebih dahulu untuk mencadangkan kepada Pengerusi yang mempunyai kuasa mutlak,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.
Dalam pada itu Salim menambah, sekiranya pesalah gagal mendapatkan pengampunan, mereka boleh memohon sekali lagi dengan mengulangi prosedur awal dan tiada had atau tempoh masa ditetapkan.
“Tiada tempoh masa khusus dalam permohonan pengampunan dan lazimnya ambil masa sehingga sebulan bergantung kepada titah Pengerusi untuk adakan sidang. Tetapi tiada tempoh masa khusus.
“Selepas pesalah mendapat pengampunan, tempoh masa mereka akan dibebaskan adalah bergantung kepada kecepatan penyediaan dokumen daripada kerajaan dan Jabatan Penjara,” jelasnya.
Tambah beliau, keputusan pengerusi adalah muktamad, mutlak dan tidak boleh dipertikaikan. – UTUSAN ONLINE
Ringkasan prosedur pengampunan
1. Petisyen kepada Lembaga Pengampunan
– Surat permohonan kepada lembaga secara persendirian ataupun melalui peguam
– Tiada syarat dan had masa
2. Lembaga Pengampunan bersidang
Lembaga Pengampunan terdiri daripada:
– Dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong atau wakil bagi Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan
– Dipengerusikan oleh Sultan, Yang di-Pertua Negeri atau wakil bagi setiap negeri
– Peguam Negara atau wakil.
– Tiga orang dilantik yang mempunyai latar belakang perundangan dan lazimnya diambil daripada Suruhanjaya Kehakiman dan Perundangan
– Menteri yang berkuasa ke atas Wilayah Persekutuan atau wakil ataupun Setiausaha Kerajaan (SUK) bagi setiap negeri
* Wakil kerajaan dipilih jika tiada Menteri yang berkuasa ke atas Wilayah Persekutuan.
3. Lembaga Pengampunan mencadangkan kepada Pengerusi, diberi pengampunan ataupun tidak
– Jika tidak, ulangi langkah pertama
4. Pengampunan penuh diberikan oleh Pengerusi
– Surat pembebasan dikeluarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan atau SUK setiap negeri
– Pesalah bebas, kesalahan jenayah digugurkan.
– Kuasa Pengerusi adalah mutlak dan tidak boleh dipertikaikan.











