KUALA LUMPUR – Pengasas produk Magika Argan Cleansing Flakes, Azura Baharudin tidak gentar diboikot pengguna kerana melantik pelakon kontroversi Izreen Azminda sebagai duta produk tersebut.
Menurut Azura, meskipun sedar akan risiko tersebut pihaknya melihat kontroversi yang melanda Izreen daripada sudut positif dan yakin terhadap rezeki Allah.
“Saya sentiasa yakin dan percaya terhadap rezeki Allah. Kontroversi tersebut sudah berlalu dan kami mahu bangkit bersama dengan Magika.
“Siapa tahu kerjasama ini akan membawa lembaran baharu terhadap Izreen dan produk Magika itu sendiri,” kata Azura.
Dalam pada itu Izreen, 33, yang ditemui pada majlis pelancaran produk Magika sebentar tadi mengakui terkejut terhadap pemilihannya sebagai duta.
“Saya agak terkejut kerana ketika dilanda kontroversi ada pihak yang percaya untuk mengambil saya sebagai duta produk,” kata Izreen.
Izreen yang turut ditemani suami, Ude atau Muhammad Radzi Abdul Wahid, 30, pada majlis tersebut memberitahu, dia menjalani kehidupan seperti biasa.
“Sepanjang 12 tahun menjadi pelakon, ini kontroversi terbesar pernah saya alami. Alhamdulillah, saya masih menjalani kehidupan seperti biasa walaupun menerima kecaman daripada netizen.
“Saya tidak boleh terus bersedih kerana masih ada anak yang perlu ditanggung. Ujian ini menjadikan saya lebih kuat,” ujar Izreen. – K! ONLINE
Habis










