Konsert solo Faizal Tahir 3 November depan - Utusan Malaysia

Konsert solo Faizal Tahir 3 November depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA 15 Mei – Penyanyi Faizal Tahir mengumumkan yang konsert sulungnya bakal diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 November depan. 


Penyanyi lagu Mahakarya Cinta itu berkata, sudah beberapa kali pihak pengurusan Warner Music menangguhkan pengumuman tersebut dan mencari waktu yang bersesuaian untuk dia mengadakan persembahan.

Jelas Faizal, tarikh tersebut sangat tepat baginya untuk membuat persediaan rapi menjayakan konsert yang bakal ditaja oleh Star Planet dengan kerjasama Warner Music sendiri.


“Sudah banyak tarikh yang diberi kepada saya tetapi saya tidak gembira dengan cadangan tersebut memandangkan membuat sebuah konsert memerlukan persediaan rapi. 


“Terutamanya dari segi persediaan fizikal saya dan juga promosi bagi konsert itu sendiri.


“Jadi, persediaan dalam tempoh empat sehingga enam bulan adalah waktu yang sangat baik. Saya pun perlu  bersedia memasuki gimnasium untuk mendapatkan kecergasan fizikal,” kata kepada Utusan Online. 


Kata Faizal atau nama penuhnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 39, menerusi perbincangan bersama mereka yang terlibat, konsert tersebut bertemakan ‘move’ atau pergerakan.


“Maksudnya, saya mahu penonton yang datang bukan saja ‘move’ dari segi fizikal tetapi juga ‘move’ dari segi emosi,” katanya. 


Tidak menolak sangat mengalu-alukan penampilan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri  Siti Nurhaliza untuk berduet dengannya menerusi lagu Dirgahayu, Faizal berharap ia satu impian yang menjadi kenyataan. 

“Barangkali saya akan menjemput beberapa artis yang pernah berduet dengan saya pada konsert itu kelak tetapi tidaklah terlalu ramai. 


“Takut nanti tujuan asal konsert saya untuk tampil solo jadi tenggelam pula,” kata Faizal yang ditemui pada majlis kempen Terima Kasih Media Prima Berhad di sini hari ini. 


Melalui kempen tersebut, Faizal berkolaborasi dengan Media Prima bagi menghasilkan sebuah dokumentari muzik  menerusi lagu ciptaannya sendiri, Starfeather yang juga diangkat sebagai lagu tema kempen tahun ini. 


Katanya, inspirasi lagu tersebut diperoleh ketika mengunjungi masyarakat Rohingya di Bangladesh dalam misi kemanusiaan dua bulan lepas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×