KANGAR 15 Mei – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan program ‘Pemeriksaan Payudara Klinik Bergerak Untuk Wanita’ yang dilaksanakan bersempena Perkampungan Sunnah Siri ke 5 di perkarangan Masjid Alwi Kangar semalam.
Keberangkatan baginda disambut oleh Ketua Penyelaras yang juga pengasas program Sukarelawan Untuk Keamanan (Volunteer For Peace) Dr K.V. Rao.
Hadir sama Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Dalam taklimat beliau kepada baginda, Dr Rao mempersembah maklumkan bahawa pemeriksaan yang disediakan ini adalah secara percuma kepada semua golongan wanita.
Pihak mereka juga memberikan khidmat pemeriksaan ultrasound payudara wanita kepada mereka yang berusia 25 tahun ke atas juga secara percuma.
Perkhidmatan pemeriksaan tersebut dibuka kepada orangramai pada 12 dan 13 Mei 2018.
Bas bersaiz besar yang di rekabentuk khas (custom made) dibawa mereka ke Kangar itu turut menyediakan ‘Ultrasounds Scanner’ selain perkhidmatan pemeriksaan tekanan darah dan tahap gula dalam darah (Random Blood Sugar) biasa.
Untuk program di PS5 kali ini pihak Sukarelawan Untuk Keamanan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
Untuk rekod, sepanjang dua hari berada di Perlis, seramai 72 orang wanita mendapatkan perkhidmatan mereka dan tujuh daripada mereka telah diberikan surat rujukan (referral) kepada pihak hospital untuk dibuat pemeriksaan selanjutnya. – UTUSAN ONLINE










