KUALA LUMPUR – UMNO telah memulakan proses penstrukturan semula dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi membangkitkan semula parti itu selepas mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.
Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tersebut dilakukan bagi memulihkan parti berkenaan serta menjadikannya sebagai satu kuasa politik yang terus berpengaruh di negara ini.
“Kita terima kekalahan ini. Kita perlu mengorak masa depan, tidak boleh toleh ke belakang. Kita mahu UMNO bangkit bersama rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) kerana kita sedang mengalami ujian,” katanya.
Beliau yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.










