RASANYA masih belum terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh. Begitu juga kepada semua wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat sama ada di peringkat Parlimen mahupun di peringkat Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Rabu lalu.
Setelah seminggu rakyat di seluruh negara selesai melaksanakan tanggungjawab memilih pemimpin masing-masing melalui PRU-14, kini seharusnya sudah tiba masanya untuk kita sebagai rakyat Malaysia kembali bersatu dan melihat ke hadapan.
Walaupun begitu, ketika ini laman-laman sosial seperti WhatsApp, Facebook, Instagram atau Twitter masih lagi tidak sunyi dengan pelbagai komen negatif atau sindiran dalam kalangan netizen yang kurang enak dibaca khususnya membabitkan hal-hal politik semasa tanah air. Komen-komen berbentuk cemuhan, kejian atau tulisan yang kurang enak untuk dibaca itu terus berlegar di laman-laman sosial seolah-olah seperti tiada pengakhirannya.
Malah, penyebaran mesej-mesej berbentuk sindiran atau cemuhan juga terus membanjiri grup-grup WhatsApp yang sepatutnya menjadi platform untuk tujuan tertentu seperti grup kejiranan, surau dan kawan sekolah telah disalahgunakan sehingga dicemari dengan bahan-bahan yang kurang enak ‘dihadam’.
Kebanjiran mesej-mesej kurang enak ini sedikit sebanyak boleh mengguris hati pihak tertentu termasuk kaum keluarga atau kawan-kawan rapat sendiri. Sehinggakan ada dalam kalangan ahli grup tertentu yang mengambil keputusan untuk meninggalkan grup tersebut kerana tidak tahan dengan mesej cemuhan atau sindiran yang disebarkan secara berterusan.
Kadang-kadang terfikir juga, apakah faedah yang diperoleh oleh pihak yang suka menyebarkan mesej seperti ini, sedangkan mereka sendiri tidak terlibat secara langsung dengan parti-parti politik tertentu, bahkan sesetengah daripada mereka lebih untuk suka-suka sahaja.
Mungkin hanya kerana terlalu seronok menjadi penyokong kepada parti-parti tertentu, mereka terlupa kepada sensitiviti dalam hubungan sesama kawan atau hidup bermasyarakat.
Mungkin juga mereka berasa diri lebih hebat berbanding orang lain kerana menjadi orang pertama yang dapat menyebarkan mesej-mesej tertentu yang kadang-kadang belum tentu sumber dan kesahihannya kepada grup-grup mereka.
Sebenarnya, tindakan menyebarkan mesej kurang elok yang sumbernya diragui atau komen-komen negatif terhadap pihak tertentu melalui grup-grup WhatsApp atau di Facebook seharusnya dielakkan sama sekali kerana ia sebenarnya langsung tidak memberi sebarang faedah selain boleh menyebabkan hubungan sesama sahabat atau ahli dalam grup tersebut menjadi renggang.
Tiada hebatnya kita kerana dapat mengutuk atau mencerca pihak tertentu, malah perbuatan seumpama itu sama sekali dilarang oleh agama. Malah, kita juga tidak akan dilihat sebagai hebat kerana bertindak menyebarkan perkara yang tidak bermanfaat walaupun pada kita mesej yang dihantar itu mungkin hanya sekadar dengan niat untuk gurauan.
Sebagai umat Islam kita harus mematuhi lunas-lunas dan ajaran agama yang sentiasa meletakkan keutamaan dalam menjaga hubungan silaturahim lebih-lebih lagi melibatkan hubungan sesama bangsa dan agama.
Paling penting ketika ini ialah kita semua perlu kembali bersatu walaupun berbeza ideologi dan berhenti daripada membuatkan orang-orang di sekeliling kita terguris atau terluka melalui sebaran mesej-mesej cemuhan, sindiran atau yang kurang enak di laman-laman sosial ini.
Ini kerana, yang menang dalam PRU lalu sudah pun menang, manakala yang kalah juga sudah menerima kekalahan tersebut dan oleh sebab itu, kita semua perlu lupakan perseteruan ideologi ini dengan kembali bersatu seperti mana pepatah Melayu ‘Biduk lalu, kiambang bertaut’ dan bergerak ke hadapan.
Lebih-lebih lagi, Khamis ini umat Islam di seluruh negara dijadual menyambut kedatangan Ramadan yang diberkati dan kerana itu penting untuk kita sama-sama membina keharmonian dan ukhuwah sesama kita.
Untuk itu, perlunya kita sama-sama menjaga kemuliaan bulan Ramadan dengan menjaga adab-adab serta kesucian agama Islam dengan mengelak daripada menyebar sebarang mesej-mesej cemuhan, menghina dan sebagainya di laman sosial.
Selamat menjalani ibadah puasa.










