KUALA LUMPUR 14 Mei – Tuntutan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) supaya Kabinet baharu yang dibentuk Tun Dr. Mahathir Mohamad mewujudkan satu jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk diisi wakil Cina disifatkan amat tidak bertanggungjawab.
Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, pertubuhan itu tidak wajar memberi tekanan sedemikian termasuk mencadangkan supaya wakil keturunan Cina dilantik untuk jawatan menteri atau timbalan menteri di beberapa kementerian yang dianggap penting kerana ia tidak selari dengan nafas Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, perwakilan dalam Kabinet harus mengambil kira posisi kependudukan rakyat di negara ini iaitu 70 peratus adalah Melayu dan bumiputera.
“Faktor kaum majoriti di negara ini harus diambil kira dalam melantik menteri dan timbalan menteri selain harus selari dengan nafas Perlembagaan yang secara jelas memperuntukkan hak istimewa dan kedudukan orang Melayu di negara ini perlu dipertahankan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Namun demikian katanya, hak-hak bukan Melayu akan tetap dipelihara oleh kerajaan.
“Selama ini pun hak dan kebajikan mereka selalu dilindungi dengan baik oleh kerajaan terdahulu yang juga diperuntukkan dalam Perlembagaan.
“Oleh itu bukan masanya mana-mana pihak untuk menuntut hal sebegitu, dan memberi tekanan,” katanya.
Semalam, Hua Zong mengemukakan cadangan itu supaya Kabinet baharu mewujudkan satu jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk diisi wakil Cina selain dilantik ke jawatan menteri atau timbalan menteri di beberapa kementerian yang dianggap penting seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri.
Hua Zong turut meminta kerajaan mengotakan semua janji pilihan raya termasuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan tol lebuh raya serta mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan berkata, pelantikan jawatan dalam Kabinet adalah hak Perdana Menteri dan sebarang keputusan untuk melantik sesiapa sekalipun, perbincangan dengan Majlis Tertinggi Presiden Pakatan Harapan tentunya akan dibuat terlebih dahulu.
Katanya, Dr. Mahathir pasti akan mengambil kira semua aspek agar seiring dengan ekosistem politik tanah air mutakhir.
“Pengalaman 22 tahun mentadbir negara pasti digunakan oleh beliau untuk memastikan kestabilan negara terus terpelihara,” katanya.










