Lagi serangan bom - Utusan Malaysia

Lagi serangan bom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SURABAYA 14 Mei – Sebuah keluarga lima orang termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun melancarkan serangan bom bunuh diri di ibu pejabat polis di Surabaya, hari ini sehari selepas satu gelombang sera­ngan bom di beberapa buah gereja yang dilancarkan oleh sebuah keluarga yang lain.

Ketua Polis Indonesia, Tito Karnavian berkata, penyerang bunuh diri itu menaiki dua buah motosikal cuba melepasi pusat pemeriksaan keselamatan di sebuah balai polis sebelum mele­tupkan diri mereka mengakibatkan empat orang maut.

Dalam kejadian serangan bu­nuh diri semalam di tiga buah gereja di sini, 13 terkorban di­per­cayai angkara kumpulan Jemaah Ansharut Daulah (JAD), sebuah pertubuhan pengganas disenaraikan Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Karnavian berkata, dalam kejadian terbaharu, kanak-kanak berkenaan terselamat apabila rakaman kamera litar tertutup menunjukkan budak terbabit bangun sejurus ia berlaku.

Sementara itu, Jurucakap Po­lis Jawa Timur, Frans Barung Mangera berkata, sebanyak em­pat anggota polis dan enam orang awam cedera dalam serangan berkenaan.

Presiden Indonesia, Joko Wi­dodo menyifatkan serangan di Surabaya sebagai perbuatan pengecut dan berikrar akan meneruskan rang undang-undang antikeganasan bagi memerangi rangkaian pengganas di negara ini.

Karnavian berkata: “Dalam kes Surabaya, mereka terlepas daripada dikesan tetapi sejurus serangan itu, kami bertindak pantas untuk mengenal pasti rangkaian mereka.”

Kata beliau, bapa kepada keluarga terdiri daripada enam orang yang terlibat dalam serangan di gereja itu merupakan ketua sel JAD di bandar kedua terbesar di Indonesia berkenaan.

Terdahulu, polis mendakwa keluarga suspek tersebut me­rupakan antara 500 individu yang bersimpati dengan Daesh setelah pulang dari Syria tetapi kenyataan itu di­sangkal oleh Karnavian.

Semasa operasi memburu saki baki sel itu, polis menembak mati seorang suspek dan menahan empat yang lain.

Karniavan berkata, sel JAD itu dipercayai berkomunikasi de­ngan kumpulan Daesh di Syria dan sel lain di seluruh dunia supaya digerakkan.

Tambahnya, pemimpin JAD yang ditahan, Aman Abdurrahman dipercayai adalah motif lain kepada serangan itu.

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian di Sidoarjo, selatan Surabaya, Karnavian berkata, polis menemukan bom paip yang tidak meletup di sebuah pangsapuri, lokasi yang me­nyaksikan berlaku letupan yang membunuh tiga orang daripada sebuah keluarga yang dipercayai menghasilkan bom.

Sebanyak tiga orang kanak-kanak daripada keluarga itu terselamat dan dikejarkan ke hospital.

Tambah Karniavan, secara keseluruhan, sebanyak 25 orang terbunuh sejak serangan semalam termasuk 13 anggota militan. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×