Misi Aaron dalam Journey To Insyirah - Utusan Malaysia

Misi Aaron dalam Journey To Insyirah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Agak lama memencilkan diri daripada sebarang aktiviti seni, pelakon Datuk Aaron muncul dengan sebuah kempen Journey To Insyirah bekerjasama dengan jenama seni kaligrafi Islam, TopKhat menerusi Aaron Aziz Series Ruqyah Edition.

Siri khas seni kaligrafi tersebut sebagai salah satu tanggungjawab sosial, khususnya dalam soal pendidikan terhadap anak-anak yang kurang bernasib baik.

Menerusi kempen tersebut, sebahagian keuntungan bagi setiap penjualan Aaron Aziz Series Ruqyah Edition, juga akan disumbangkan terhadap rumah kebajikan terpilih.

Aaron atau nama sebenarnya, Aaron Mustapha Aziz, 42, berkata, dia mempunyai minat mendalam terhadap seni khat, sekali gus membuka ruang untuk berkolaborasi dengan TopKhat.

“Melihat hasil seni khat yang dihasilkan membuatkan saya tertarik dan memikirkan bentuk kerjasama yang sesuai. Saya berasakan kempen yang diwujudkan lebih dekat dengan jiwa saya.

“Bukan sahaja bermanfaat untuk pembeli tetapi mampu memberi kegembiraan kepada orang lain. Saya percaya, kempen ini boleh berjaya dengan usaha dan kerjasama orang ramai,” katanya.

Menjelaskan lanjut mengenai kempen Journey To Insyirah, Aaron menjadi prihatin dengan nasib keluarga yang tidak berkemampuan untuk menampung hal berkaitan perbelanjaan pendidikan.

“Sebagai seorang bapa, saya sedar kos sara hidup masyarakat sekarang semakin meningkat. Bayangkan keluarga gaji tidak besar dan anak ramai, bagaimana mereka mahu meneruskan kehidupan dan mendapatkan pendidikan yang sewajarnya.

“Ada anak-anak yang mempunyai potensi dalam pelajaran namun terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung ke peringkat yang lebih tinggi kerana tiada wang yang cukup. Jadi, Journey To Insyirah ini diharap dapat meringankan beban mereka. Insya-Allah,” kata Aaron lagi.

Mempunyai pelbagai pilihan, setiap rekaan TopKhat juga datang dengan nilai eksklusif tersendiri memandangkan setiap produk TopKhat dihasilkan mereka yang mempunyai minat yang tinggi terhadap seni berkenaan.

Lima rekaan berbeza yang dinamakan Abu Bakr As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman Ibn Affan Ali Bin Abi Talib dan Khalid Ibn Al-Walid.

Kesemua rekaan ini juga akan disertakan dengan pilihan enam ayat Ruqyah iaitu, Al-Fatihah, Al Baqarah (ayat 1-5), Al Baqarah (ayat 102), Ayat Kursi, Al Baqarah (ayat 285-286) dan Al Hasyr (ayat 21-24).

Dalam pada itu, pelakon filem Ombak Rindu itu mengakui menghidap penyakit misteri sejak dua tahun lalu namun berjaya merawat penyakit tersebut menggunakan ayat suci al-Quran selepas berjumpa seorang kenalan yang arif dalam hal agama.

Penyakit

Gangguan penyakit misteri yang dialami menyebabkan hero filem KL Gangster itu berdepan sakit belakang serta ketidakstabilan emosinya.

“Sebelum ini ketika aktif berlakon, saya akui banyak lalai dalam hal-hal berkaitan agama. Apabila sudah sakit baru saya ingat Tuhan.

“Baru-baru ini, saya bertemu dengan seorang kenalan yang mengajar saya mengamalkan ayat-ayat suci Islam terutama surah Ruqiyah. Saya tidak mahu kata telah terkena buatan orang, namun pada akhirnya setiap apa yang berlaku itu dianggap sebagai dugaan daripada Allah SWT,” ujarnya.

Hero KL Gangster itu menambah, kesihatannya tidak pulih walaupun mendapatkan rawatan moden, namun semakin menunjukkan perkembangan positif selepas mengamalkan ajaran Islam dengan lebih tertib atas saranan kenalan tersebut.

“Sebelum ini, banyak habiskan masa di set penggambaran, tidak jaga serta selalu melengah-lengahkan waktu solat.

“Alhamdulillah, dalam tempoh berehat, saya banyak muhasabah diri untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik. Sekarang, segala gambar keluarga di dinding rumah sudah saya turunkan dan ganti dengan ayat-ayat suci al-Quran.

“Saya diberitahu, kalau gantung gambar seperti itu malaikat tidak masuk rumah,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN