KANGAR 14 Mei – Isu kerajaan tergantung sama sekali tidak timbul di Perlis kerana Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti mudah pada pilihan raya baru-baru ini, selain nama calon Menteri Besar yang diketengahkan itu juga mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu.
![]() |
|
Pengamal undang-undang, Zuhair Ahmad Zakuan
|
Pengamal undang-undang, Zuhair Ahmad Zakuan berkata, keputusan pelantikan Menteri Besar kini terserah kepada budi bicara Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selepas Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim menyerahkan senarai nama calon kepada baginda.
Katanya, situasi di Perlis tidak sama seperti di Kedah, Perak dan Sabah kerana parti-parti yang bertanding di negeri terbabit tidak menang dengan majoriti mudah.
“Keputusan pilihan raya baru-baru ini sudah mengesahkan BN memenangi majoriti mudah iaitu 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini. Seperti kelaziman ketua parti (yang menang) akan mengemukakan nama calon Menteri Besar yang mendapat kepercayaan majoriti ADUN kepada Tuanku Raja Perlis.
“Oleh sebab demikian Shahidan menyerahkan surat tauliah kepada Raja Perlis sebagai cadangan kepada Tuanku untuk melantik ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim sebagai calon Menteri Besar yang mendapat sokongan majoriti BN Perlis,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, Shahidan sudah menyerahkan surat tauliah daripada pihak BN Pusat kepada Raja Perlis pada Sabtu lalu untuk melantik Ismail sebagai calon Menteri Besar.
“Ia mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis Artikel 39 (2)(a), memandangkan Ismail mendapat kepercayaan ramai atau sokongan majoriti ADUN yang terbabit bagi mengetuai Majlis Mesyuarat Negeri,” katanya.
Beliau difahamkan sekurang-kurangnya lapan ADUN menyatakan sokongan terhadap Ismail untuk menjadi Menteri Besar.
“Persetujuan majoriti daripada ADUN yang lain adalah cukup dan mematuhi peruntukan undang-undang tubuh negeri untuk seseorang itu dilantik sebagai Menteri Besar oleh Tuanku Raja Perlis,” katanya.- UTUSAN ONLINE











