ISKANDAR PUTERI 14 Mei – Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mengakui ada beberapa perkara yang dinyatakan beliau pada sidang akhbar selepas pelantikannya sebelum ini belum dimuktamadkan.
Ini termasuk berkaitan peruntukan kepada pembangkang Johor dan penggunaan slogan Muafakat Johor ditukar kepada Harapan Johor.
Osman berkata, mengenai pemberian peruntukan, kerajaan negeri akan menjalankan satu kajian berhubung perkara itu.
“Takpelah sesiapa pun boleh komen dan dia tak tau apa saya cakap secara keseluruhannya. Kita akan menjalankan kajian, kita ada formula, bermakna bukan kita terus tidak beri, kita ada cara lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini sebentar tadi.
Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pengerusi PAN Johor, Aminolhuda Hasan semalam menegur berhubung kenyataan Osman yang tidak akan memberikan peruntukan kepada pembangkang di negeri ini.
Selain itu, penggunaan slogan Muafakat Johor yang dicadang ditukar kepada Harapan Johor turut mendapat reaksi pelbagai lapisan rakyat negeri ini yang mahu slogan muafakat tersebut diteruskan.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu entri di Facebook JOHOR Southern Tigers semalam memberitahu, Muafakat Itu Berkat adalah slogan yang digunakan sejak sekian lama, semenjak tertubuhnya Johor pada tahun 1885.
Mengulas berhubung slogan Harapan Johor yang mendapat reaksi kurang bersetuju dengan penggunaanya, Osman memberitahu, itu merupakan lontaran idea beliau dan masih belum dimuktamadkan.
“Saya lontarkan sahaja, sekarang orang dah bagi respon…baguslah. Saya bukan artiskan, jadi orang nak komen ia kehendak rakyat di bawah dan daripada situ kita tahu. Saya suka cara macam ini secara tidak langsung dapat yang terbaik kita pilih,” katanya. – UTUSAN ONLINE.










