Rafizi dakwa kenyataannya bawa pendirian PKR - Utusan Malaysia

Rafizi dakwa kenyataannya bawa pendirian PKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Mei – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa kenyataannya sebelum ini berhubung pelantikan pemimpin tertinggi PPBM, PAN dan DAP sebagai menteri kanan Kabinet dibuat tanpa rundingan dengan PKR adalah membawa pendirian PKR dan bukan kenyataan peribadinya.


Dakwanya, oleh kerana beliau satu-satunya pemimpin kanan yang tidak akan menyertai kerajaan dan tidak mempunyai sebarang konflik kepentingan, oleh itu kenyataan tersebut telah dikeluarkan olehnya.


“Saya bukan ahli Parlimen, sebab saya dijatuhi hukuman penjara kerana lawan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Memuatkan artikel berkaitan…

“Selebihnya saya akan terangkan secara panjang lebar esok (hari ini) secara bertulis. Kalau semasa Barisan Nasional (BN) dulu, apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menimbulkan isu di luar, cara penyokong BN menghentam beliau ialah dengan suruh bawa isu ikut saluran. Kini ayat yang sama dibawa penyokong-penyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam akaun Twitter beliau.


Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa kenyataan Rafizi tersebut adalah merupakan pandangan peribadi bekas Ahli Parlimen Pandan itu.


Dalam pada itu, Rafizi memberitahu, ekoran kenyataannya itu, beliau telah menerima banyak maki hamun daripada rakyat yang sedang bergembira kerana berjaya menumbangkan BN.


“Saya baya baca semua maki hamun rakyat Malaysia yang sedang di awangan kerana baru buang BN. Saya akan jawab semua maki hamun ini dan semua surat terbuka esok.


Jangan taksub. Jangan cepat lupa bahawa bila tiada yang berani menegur, kita kembali ke zaman BN,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×