KUALA TERENGGANU 14 Mei – Menteri Besar Terengganu yang ke-15, Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini memulakan tugas secara rasmi selepas dilantik Khamis lalu.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 8.50 pagi di pusat pentadbiran negeri, di Wisma Darul Iman, kemudiannya mengetip kad perakam waktu menandakan hari pertama beliau bertugas.
Hadir mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu ialah isterinya, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman di samping Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan 10 anggota Exco.
Ketibaan beliau disambut oleh Pegawai Kewangan negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya.
Beliau kemudian menunaikan solat hajat bersama kira-kira 300 jemaah yang terdiri daripada kakitangan Wisma Darul Iman, wakil rakyat dan jentera utama pilihan raya di Dewan Besar.
Menteri Besar turut menyampaikan ucapan ringkas yang pertama di hadapan kakitangan.
Ahmad Samsuri, 48, yang berkelulusan Doktor Falsafah Aeroengine Ignition and Combustion High Altitude Engine Failure dari Universiti of Leeds, United Kingdom pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau yang berasal dari Jerteh, Besut merupakan penganalisis kejuruteraan aeroangkasa dan menjadi rujukan semasa kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan MH17.
Bapa kepada enam anak ini juga adalah Penasihat Jawatankuasa Bidang Strategik (Aeroangkasa) Kementerian Pengajian Tinggi pada 2007 hingga 2009 sebelum berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Presiden Pas dan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat.-UTUSAN ONLINE









