SHAH ALAM – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memulakan tugas sebagai Menteri Besar Selangor secara rasmi di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu tiba di pejabatnya di bangunan berkenaan kira-kira pukul 7.40 pagi sebelum mengetip kad kehadiran tepat pukul 7.48 pagi.
Mohamed Azmin selepas itu menghadiri jamuan minum bersama kira-kira 100 penjawat awam negeri di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.
Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang, Jumaat lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan memenangi 51 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding Barisan Nasional (4) dan Pas (1). – K! ONLINE







