KUALA LUMPUR 14 Mei – Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatif dibuka tinggi hari ini berikutan prospek meningkat bagi pasaran tunai. Public Investment Bank dalam nota penyelidikan berkata walaupun mengakui pasaran susut dalam masa terdekat susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14, keadaan pasaran bagi jangka masa sederhana hingga jangka masa panjang akan terus menggalakkan disokong oleh pertumbuhan global dan pendapatan yang lebih baik. Pada 9.29 pagi, bulan semerta Mei 2018 naik 15 mata kepada 1,859, Jun 2018 menambah 16.5 mata kepada 1,859, September 2018 meningkat 14.5 mata kepada 1,854.5 dan Disember 2018 menokok 26 mata kepada 1,862. Jumlah dagangan sebanyak 7,625 lot, manakala kepentingan terbuka berjumlah 34,843 kontrak. Kadar asas petunjuk pasaran FBM KLCI naik 5.43 mata kepada 1,851.94 selepas 29 minit dagangan. – BERNAMA










